KUALA LUMPUR – Penaja utama Kamya Fest, Erna Elliyana Rosli mendakwa menjadi mangsa fitnah vendor dan juga netizen tentang penganjuran karnival pada 10 hingga 12 Februari lalu sehingga tular dalam media sosial.
Beliau yang juga pengasas Kamya Glow mendesak pihak terlibat yang menyebarkan perkara tidak tepat itu supaya menurunkan semula segala hantaran berbaur fitnah yang dibuat dalam media sosial dalam tempoh masa diberikan.
Peguam yang mewakili Erna, Ganesh Magenthiran dari Hakem Arabi & Associates berkata, pihaknya memberikan tempoh selama dua minggu untuk mereka menurunkan hantaran yang dibuat bagi membersihkan nama usahawan itu.
“Sekiranya gagal berbuat demikian, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka.
“Hantaran berbaur fitnah yang disebarkan dalam media sosial telah mencalarkan imej dan nama baik Kamya. Jadi kami menyeru agar semua pihak berhenti menulis kata-kata tidak benar mengenai Kamya Fest,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Erna yang juga penyanyi, pihaknya cuma bertindak sebagai penaja utama Kamya Fest yang dianjurkan oleh Underground Asia dan FWD.
Malah sebagai penaja utama, dia mengeluarkan kos melebihi RM445,000 untuk terbabit dalam festival tersebut.
Bagaimanapun, pada hari pertama penganjuran tular dalam media sosial tentang beberapa isu sehingga pihaknya mengalami kerugian besar.
“Sasaran kami untuk mendapatkan 50,000 pengunjung tidak berjaya selepas tular beberapa isu pada hari pertama. Hal tersebut menyebabkan kami kerugian separuh daripada jumlah yang dilaburkan untuk acara tersebut.
“Selain isu viral, faktor cuaca seperti hujan juga menyebabkan kurangnya sambutan daripada pengunjung,” kata Erna.
Isu timbul apabila terdapat pempengaruh, pengunjung serta vendor yang terbabit meluahkan rasa kesal dan tidak puas hati apabila dikenakan bayaran masuk ke Kamya Fest.
Difahamkan bayaran sebanyak RM10 dikenakan kepada pengunjung untuk caj masuk ke tapak festival yang ditetapkan oleh penganjur.
Bagaimanapun, hasil perbincangan yang dibuat antara Kamya dan penganjur akhirnya membuat keputusan untuk tidak mengenakan caj pada hari kedua.
Selain caj masuk, pengunjung juga mempertikaikan harga parkir pihak pengurusan Stadium Bukit Jalil apabila mengenakan bayaran sebanyak RM20 yang dianggap terlalu mahal.
“Sekali lagi kami tegaskan Kamya adalah penaja terbesar festival berkenaan dan disebabkan itu dinamakan sebagai Kamya Fest. Kami bukanlah penganjur.
“Keputusan untuk mengenakan bayaran masuk ditetapkan oleh penganjur dan mereka juga bersetuju untuk tidak mengenakan bayaran pada hari kedua dan ketiga selepas perbincangan dibuat.
“Berkenaan kadar bayaran parkir yang mahal RM20 juga di luar pengetahuan pihak Kamya,” kata Erna. – MalaysiaGazette