PUTRAJAYA – Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram mendakwa komen yang dikeluarkan oleh suami Ketua Hakim Negara melalui hantaran di Facebook (FB) mengenai Datuk Seri Najib Razak hanya luahan seorang rakyat biasa sahaja.
Ketika hujahan balas prosiding semakan sabitan hukuman kes penyewelengan dana SRC bernilai RM42 juta membabitkan bekas perdana menteri, beliau berkata, hantaran oleh Datuk Zamani Ibrahim tidak boleh dijadikan asas untuk Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada prosiding.
Hujah Sithambaram, Zamani tidak mempunyai apa-apa permusuhan peribadi sebaliknya hanya memberikan komen sebagai seorang rakyat sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).
“Sebenarnya Yang Arif, ini hanya komen umum rakyat di Facebook, permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri ketika rayuan akhir tahun lalu berikutan dakwaan konflik kepentingan adalah percubaan terdesak di saat akhir ganggu prosiding rayuan.
“Memang satu kebetulan luar biasa apabila pemohon (Najib) hanya mendapat tahu mengenai hantaran FB itu beberapa jam sebelum prosiding rayuan akhir pada 23 Ogos tahun lalu. Sebenarnya pemohon tahu tentangnya tetapi mendapati ia tidak berbaloi untuk membuat permohonan menarik diri lebih awal.
“Mereka hanya membuat permohonan saat-saat akhir ini adalah usaha terdesak untuk menangguhkan prosiding,” hujahnya di hadapan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.
Sithambaram membalas hujahan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mendakwa Tengku Maimun mempunyai konflik kepentingan susulan suaminya membuat hantaran mempunyai sentimen negatif terhadap bekas Presiden UMNO itu di laman sosial FB empat tahun lalu.
Dakwa Muhammad Shafee, kritikan teruk dibuat oleh Zamani terhadap Najib pada 2018 sebaik keputusan PRU-14 diumumkan disifatkan seperti ‘satu perayaan’ di FB.
Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib supaya Tengku Maimun yang mempengerusikan panel lima hakim menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan.
Keputusan itu dicapai sebulat suara panel selepas mendapati permohonan terbabit gagal menunjukkan terdapat bahaya yang nyata bahawa ia akan menyebabkan berat sebelah.
Sepatutnya hari ini merupakan hari terakhir prosiding semakan sebelum keputusan dicapai namun Muhammad Shafee telah memohon supaya masa diberikan kepadanya untuknya berhujah.
Prosiding akan bersambung pada Isnin depan.
Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara itu pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana penyelewengan dana SRC. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tengku Maimun patut tarik diri daripada dengar rayuan akhir Najib