KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu membuat laporan polis berkenaan operasi haram kilang memproses sisa elektrik (e-waste) di Gebeng hari ini.
Dalam kenyataannya, beliau mendakwa, kilang tersebut masih beroperasi meskipun telah mendapat dua arahan penutupan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak Januari lalu.
“Tindakan pengusaha kilang ini bukan sahaja melanggar pelbagai peraturan yang terpakai dan mengingkari arahan yang dikeluarkan tetapi juga mencabar kedaulatan undang-undang di negara ini,” kata Andansura.
Tambahnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Gebeng mengesahkan kilang terbabit tidak mempunyai sebarang kelulusan operasi dan menyebabkan pencemaran udara dan bau ke kawasan perindustrian dan kediaman berhampiran.
Justeru, katanya, JAS telah mengeluarkan arahan henti operasi ketika membuat serbuan bersama Bahagian Penguatkuasa, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada 25 Januari lepas.
“Bagaimanapun kilang ini didapati mengingkari arahan tersebut dan meneruskan operasinya seperti biasa. Malah prasarana tambahan didapati telah dibina untuk keperluan operasinya.
“Susulan dari itu, pihak saya telah mengatur satu operasi bersepadu bagi menghentikan operasi kilang tersebut pada 14 Februari yang melibatkan JAS, pihak bomba, polis, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (JKKP) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JLDM),” ulas Andansura lagi.
Beliau berkata, kilang tersebut terus berdegil dan sekali lagi melanggar arahan untuk menghentikan operasi yang dikeluarkan dan meneruskan kegiatannya seperti biasa.
Sementara itu, katanya, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang juga dibuat hari ini bagi memohon siasatan kemungkinan berlaku sebarang salah laku oleh mana-mana pihak berhubung penguatkuasaan undang- undang yang berkaitan.
Pada 14 Februari lalu, pihak pokis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, JAS, JKDM dan JKKP melakukan serbuan kali kedua sebuah kilang peleburan barangan elektrik dan elektronik di Pusat Perindustrian Gebeng, di Kuantan.
Pihak kilang juga telah diberikan Notis Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 semasa sebuan dilakukan.
Hasil pemerikasaan lanjut mendapati lebih 600 tan bahan elektrik dan elektronik terbuang di dalam guni di ruang kilang termasuk tempat peleburan bahan buangan itu dan beberapa bongkah aluminum yang telah siap diproses.- MalaysiaGazette