Seramai 11 orang individu yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dibawa untuk permohonan perintah reman di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 22 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kompleks Istana Kehakiman di sini sedikit kecoh dengan kehadiran deretan kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa sekumpulan suspek yang didakwa terlibat dengan sindiket pelaburan antarabangsa yang didalangi warga United Kingdom (UK).

Rata-rata wakil media yang berada di lokasi itu bagi membuat liputan prosiding semakan sabitan hukuman bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak terkejut melihat suspek-suspek yang memakai pakaian lokap SPRM.

Malah turut kelihatan beberapa media asing membuat liputan bagi kes berkenaan.

Difahamkan, suspek yang terdiri dalam kalangan warga asing dan tempatan telah dibawa untuk perintah tahanan reman bagi siasatan lanjut dan satu sidang media khas akan diadakan esok oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengenainya esok.

Seramai 11 orang individu yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dibawa untuk permohonan perintah reman di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 22 FEBRUARI 2023.

Difahamkan Ops Tropicana yang dijalankan SPRM dengan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Imigresan Malaysia (JIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri telah menyerbu 24 premis berasingan semalam secara serentak.

Media melaporkan, Azam Baki berkata, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak 2019 dan telah mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.

Seramai 11 orang individu yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dibawa untuk permohonan perintah reman di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 22 FEBRUARI 2023.

Kata Azam, serbuan dijalankan dengan kaedah risikan, siasatan kewangan, operasi berselindung dan penyamaran telah digunakan.

“Risikan juga dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM.

“Modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan di media sosial dan ahli sindiket terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina. Mereka memperdaya mangsa supaya melabur ke dalam syarikat yang tidak wujud dan rekaan semata-mata,” katanya.

Turut difahamkan sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang dipercayai menipu mangsa di seluruh dunia sehingga RM1 bilion.

Sementara itu, Pengarah AMLA SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengetuai serbuan mengesahkan 11 suspek disyaki terbabit dalam kegiatan itu ditahan manakala 70 individu lagi ditahan Jabatan Imigresen.

“Sebanyak 74 akaun milik individu dan syarikat dibekukan, dianggarkan berjumlah RM11 juta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast