WARGA emas lebih mudah diserang sawan kerana faktor masalah barah atau ketumbuhan otak, angin ahmar dan menghidap penyakit dementia. - Gambar hiasan.

BILANGAN keseluruhan penduduk negara ini yang menderita sawan atau epilepsi kira-kira satu peratus.

Hakikatnya tidak ramai namun sekiranya tidak diberikan perhatian secara serius penyakit ini boleh membawa maut kepada penghidapnya sekiranya berlaku secara berulang kali.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Nurazam Omar berkata, sawan yang berisiko menyebabkan kematian ialah sawan menyeluruh.

Dr. Nurazam Omar

“Hakikatnya, kematian boleh berlaku sekiranya serangan sawan tanpa sebarang kawalan secara berterusan dan tidak berhenti dalam durasi lima hingga 10 minit.

“‘Status epilepticus menyebabkan tekanan darah menurun serta kekurangan oksigen menuju bahagian otak.

“Ini mampu membahayakan nyawa penghidapnya kerana tidak boleh bernafas dan mereka perlu dibawa ke hospital segera untuk mendapat bantuan kecemasan,” katanya baru-baru ini.

Secara umumnya, serangan sawan berpunca kerana cetusan rangsangan elektrik yang berlebihan dan tidak terkawal di bahagian otak.

Serangan ini menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri, serangan sentakan kaki dan tangan, mulut berubah kebiruan, kancing gigi, mata juling ke atas selain tidak bermaya selepas serangan sawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Nurazam memberitahu, anak-anak tidak ‘mewarisi’ sawan ibu bapa mereka yang mempunyai sejarah penyakit berkenaan.

Katanya, sesetengah kanak-kanak yang mengalami sawan mempunyai masalah lain seperti pembelajaran dan perkembangan.

“Serangan sawan boleh dialami sesiapa sahaja terutama kanak-kanak dan warga emas. Namun, warga emas lebih mudah diserang sawan kerana faktor masalah barah atau ketumbuhan otak, angin ahmar dan menghidap penyakit dementia.

“Masalah ini boleh mempengaruhi bahagian otak dan memberi kesan langsung kepada masalah sawan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Nurazam memberitahu, pesakit yang disahkan penyakit sawan perlu menjalani sesi kaunseling.

BILANGAN-keseluruhan-penduduk-negara-ini-yang-menderita-sawan-atau-epilepsi-kira-kira-satu-peratus.-Gambar-hiasan.

“Kebiasaannya, mereka dinasihatkan tidak melakukan aktiviti seperti memandu kenderaan, renang, memanjat tempat tinggi atau mengayuh basikal kerana serangan sawan boleh berlaku semasa aktiviti tersebut.

“Pesakit juga akan diberikan ubat berdasarkan jenis sawan dihidapinya yang ditentukan oleh pakar perubatan.

“Sekiranya sesuai pesakit sawan akan dirujuk kepada pakar bedah untuk meneruskan prosedur pembedahan bagi mengeluarkan parut pada otak yang membolehkan mereka sembuh daripada penyakit itu.

“Namun, proses penyembuhan ini bergantung kepada usia, corak dan punca sawan,” katanya.

JENIS-JENIS SAWAN

Sawan fokal

Sawan fokal ialah serangan sawan yang bermula daripada satu bahagian otak seperti bahagian lobus temporal (kedudukan pada paras telinga di dalam tengkorak).

Penghidap boleh mengalami gejala sebelum terjadinya serangan sawan fokal seperti perubahan perasaan, rasa kebas pada muka, kaki atau tangan.

Sawan menyeluruh

Sawan menyeluruh berlaku bermula keseluruhan bahagian otak.

Serangan sawan menyeluruh ini menyebabkan penghidap tidak sedarkan diri, rebah ke lantai dan berlaku sentakan kaki serta tangan yang tidak terkawal.

Serangan sawan berlaku sangat singkat iaitu kurang daripada lima minit namun serangan sawan boleh menjadi lama sehingga 10 minit.

Pesakit akan merasa sangat letih, lesu dan tidak bermaya dan mengambil masa untuk kembali normal yang ada masanya sehingga beberapa jam atau hari.

TINDAKAN AWAL SEKIRANYA AHLI KELUARGA DISERANG SAWAN

1. Pastikan pesakit baring mengiring ke sebelah kiri. Ini bagi memastikan mereka tidak tersedak dan mampu bernafas dengan baik.

2. Jangan masukkan apa-apa objek ke dalam mulut pesakit sebagai contoh sudu, garpu atau kain. Itu boleh mencederakan mereka.

3. Kebiasaannya pesakit akan sedar daripada serangan sawan iaitu kurang lima minit. – MalaysiaGazette