Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain merasmikan gimik pelancaran Bulan Zakat dan Wakaf di Kuantan hari ini.

KUANTAN- Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang mengisytiharkan bulan Syaaban sebagai Bulan Zakat Dan Wakaf peringkat negeri.

Ketua Pegawai Sksekutif Majlis Agama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kutipan wakaf pada tahun 2022 telah melepasi sasaran yang iaitu RM2 juta dan menyasarkan sebanyak RM3 juta pada tahun ini.

“Kutipan wakaf yang terkumpul pada tahun 2022 adalah sebanyak RM2.24 juta berbanding RM1.34 juta bagi tahun 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak RM900, 000 atau 67 peratus.

“Dari segi bilangan jumlah pembayar yang menyertai wakaf pada tahun 2022 adalah seramai 6,908 orang berbanding dengan tahun 2021 merekodkan seramai 4,715 dan ini menunjukkan peningkatan seramai 2,193 orang atau 47 peratus.

“Penganjuran Syaaban Bulan Zakat dan Wakaf diadakan adalah untuk mempertingkatan kesedaran kewajipan berzakat dan amalan berwakaf dalam kalangan umat Islam terutamanya di kalangan bakal pembayar,” katanya pada sidang media  di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 250 peserta menghadiri seminar wakaf daripada institusi pondok dan maahad hadir bagi meningkatkan kesedaran berzakat serta amalan berwakaf.

Program yang sama juga bertujuan memperkenalkan pengurusan wakaf baharu kepada orang ramai serta meluaskan penglibatan masyarakat dalam pelaksanaannya selain mengajak mereka menghayati amalan yang dituntut agama itu.

Selain itu, sebanyak 101 program promosi zakat dan telah dirancang sepanjang Bulan Zakat dan Wakaf  untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.

Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Wakaf Pahang berperanan untuk membantu MUIP dalam urusan promosi dan kutipan zakat harta manakala wakaf Pahang adalah berperanan untuk mengutip dana dan mengurus lebih 300 aset-aset wakaf.

Untuk rekod bagi tahun 2022, PKZ Pahang berjaya mengutip zakat harta sebanyak RM206.9 juta berbanding RM179.2 juta bagi tahun 2021 di mana menunjukkan peningkatan sebanyak RM27.7 juta atau 15.3 peratus.

Manakala agihan zakat bagi tahun 2022 pula yang diagihkan oleh MUIP sebanyak RM207 juta kepada 124,900 orang penerima dan menunjukkan rekod peningkatan sebanyak RM34.1 juta berbanding 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast