MADAGASCAR – Sekurang-kurangnya seorang maut selepas taufan tropika melanda pantai timur Madagascar, dengan hujan lebat dan angin kencang hingga mencetuskan gelombang ribut.
Taufan Freddy mendarat pada hari Selasa, beberapa minggu selepas ribut tropika Cheneso yang mengorbankan 33 orang dan menyebabkan beribu-ribu orang hilang tempat perlindungan.
Sekolah telah ditutup dan semua operasi pengangkutan telah digantung.
Terdahulu, Taufan Freddy menyebabkan beberapa kerosakan di Mauritius, membanjiri kebanyakan hotel tepi pantai.
Negara pulau Lautan Hindi ini amat terdedah kepada taufan.
Ia dilanda purata 1.5 taufan setiap tahun, kadar tertinggi di Afrika, menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.
Taufan itu sedikit lemah sebaik mendarat di Madagascar, yang terletak di luar pantai tenggara Afrika, dengan tiupan angin melebihi 130km/j.
Perkhidmatan meteorologi negara ini memberi amaran hujan lebat akan berterusan di sepanjang laluannya.
“Laut kekal sangat bergelora dan risiko besar banjir pantai akan berterusan semalaman,” katanya.
Seorang lelaki berusia 27 tahun lemas berhampiran pelabuhan Mahanoro sebelum ribut mendarat.
Seramai 7,000 orang telah dipindahkan lebih awal dari kawasan pantai.
Amaran ombak boleh mencapai lebih lapan meter telah dikeluarkan oleh Persekutuan Palang Merah Antarabangsa.
Sesetengah penduduk menggunakan beg pasir untuk mengelakkan bumbung rumah ditiup angin. – Agensi