Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersama Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menunjukkan antara barang rampasan hasil kejayaan tangkapan Op Tropicana pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 22 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan penglibatan anggota penguatkuasa menerima rasuah bagi melindungi operasi sindiket scammer antarabangsa yang dikaitkan dengan pelaburan tidak wujud berjumlah RM200 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam baki berkata, beliau percaya aktiviti jenayah itu dilindungi pihak-pihak tertentu.

“Sewaktu serbuan dilakukan tempoh hari (21 Februari lalu), kami mendapati beberapa nama tertentu yang dicatitkan oleh ahli sindiket turut ditemui, dipercayai sebagai individu berkuasa yang saya yakin memberi perlindungan kepada mereka dalam kegiatan penipuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Tropicana yang turut disertai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Dalam serbuan pada 21 Februari lalu di 24 premis kediaman dan syarikat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, seramai 30 individu terdiri daripada warga tempatan yang menyediakan fasiliti dan sekuriti untuk ahli sindiket serta warga asing dari United Kingdom (UK), Filipina dan Indonesia ditahan.

Daripada jumlah itu, seramai 10 individu direman enam hari bagi sehingga 27 Februari ini bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan pelaburan yang menyasarkan mangsa UK dan Australia.

Menurut Azam, sindiket berkenaan dianggotai warga asing yang masuk ke negara ini sebagai pelancong yang mana mereka mungkin membayar individu tertentu untuk mendapatkan perlindungan di Malaysia.

“Kita akan melihat kepada perkara ini dan sekiranya terbukti berlaku, sudah pasti kertas siasatan akan dibuka,” ujarnya

Azam yang ditanya mengapa operasi berkenaan tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, ini kerana Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merupakan agensi yang lebih tepat untuk mengambil tindakan melibatkan warga asing.

Katanya, JIM juga mempunyai Pasukan Taktikal Khas Imigresen (Pastak) yang boleh melakukan serbuan.

“Begitu juga dengan reman, mula-mula akan reman di bawah Akta SPRM selama 14 hari, kemudian JIM pula akan melakukan penahanan selanjutnya jadi kita boleh selesaikan siasatan dengan cepat untuk dituduh di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Azam memberitahu, dalang utama sindiket penipuan itu adalah seorang lelaki warga Britain berusia lewat 40-an yang dikehendaki oleh Agensi Jenayah Kebangsaan UK.

Katanya, risikan awal mendapati ahli serta dalang sindiket ini keluar masuk Malaysia dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial Pelancong dan tinggal di negara ini untuk tempoh maksimum.

Jelasnya, taktik sindiket itu berjaya dikesan oleh JIM di pintu masuk udara negara sebelum serbuan dilakukan Selasa lalu.

“Dalang utama juga mempunyai beberapa orang yang berkepakaran dalam scammer pelaburan dalam talian dan meyakinkan mangsa benar-benar berurusan dengan laman web broker saham yang berlesen sedangkan ia adalah palsu,” jelasnya.

Dalam serbuan sama, sebanyak 74 akaun suspek membabitkan 64 individu dan 10 syarikat dibekukan berjumlah RM1.6 juta selain wang tunai RM2.2 juta, AS$35,000 selain dolar Singapura dan Pound Sterling dirampas di lapangan.

Selain itu peralatan elektronik, fail, buku cek, cop pelbagai syarikat, kad bank dan pelbagai dokumen turut dirampas dalam serbuan terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast