ISTANBUL – Konflik di sebahagian negara-negara arab bermula dengan satu siri protes anti kerajaan dinamakan Arab Spring tercetus di Asia Barat yang bermula dari Tunisia selepas seorang penjual buah membakar dirinya pada Disember 2010 kerana kecewa barangan niaganya dirampas pihak berkuasa tempatan, selain dipukul sebelum meninggal dunia. Arab Spring kemudiannya merebak ke banyak negara antaranya Mesir, Libya dan Syria.
Di Syria, protes bermula pada Mac 2011, ia dimulakan sekumpulan 15 remaja lelaki yang kemudiannya ditahan dan diseksa selepas melukis grafiti yang melambangkan sokongan terhadap Arab Spring. Salah seorang remaja itu maut selepas diseksa dengan kejam. Kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad kemudiannya bertindak membunuh ratusan penunjuk perasaan dan memenjarakan ribuan yang lain.
Kumpulan Free Syrian Army (FSA), yang terdiri daripada anggota keselamatan (askar dan polis) yang membelot, ditubuhkan dengan tujuan menjatuhkan kerajaan pimpinan Bashar, sekali gus memulakan perang saudara di Syria. FSA kemudiannya disertai anggota kumpulan jihad, bukan sahaja dari Syria, malah dari luar juga.
Krisis Syria yang telah berlarutan lebih 12 tahun masih lagi belum menunjukkan jalan penyelesaian. Puluhan ribu nyawa telah terkorban dan jutaan lagi menjadi pelarian di serata pelusuk dunia.
Bencana gempa bumi pada 6 Februari lalu di Turkiye yang turut dialami utara Syria, memberi impak dan kesan lebih besar kepada penduduk utara negara itu yang sediakalanya miskin serta serba kekurangan. Realiti yang perlu difahami penghantaran bantuan kepada Damsyik tidak memberi apa-apa makna kepada berjuta-juta rakyat negara itu yang menjadi mangsa bencana yang berada di Idlib, utara Aleppo seperti Afrin dan Hama yang selama ini diperangi rejim Bashar sejak hampir belasan tahun lalu.
Lensa Malaysia Gazette berjaya memasuki utara Syria melalui pintu sempadan Turkiye, bagi merakam keadaan sebenar di negara itu.