KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir terdesak apabila cuba meminta sejumlah kerusi daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, tidak lama lagi.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Pejuang dilihat terpaksa menggunakan strategi ‘meminta kerusi’ untuk kelangsungan parti berkenaan.
“(Bila dia lakukan perkara itu), maknanya dia terdesak sekarang untuk mencari tempat, biarkanlah… Tak apalah… Sebagai orang politik dia terpaksa untuk dia boleh bergantung hidup,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen, hari ini.
Berita Harian memetik sumbernya berkata, Mukhriz menyatakan hasrat untuk Pejuang menjalin kerjasama dengan PN dalam PRN Kedah.
Katanya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan antara Mukhriz dengan lima kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.
Sumber berkenaan berkata, Mukhriz memohon sekurang-kurangnya dua kerusi untuk Pejuang iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra yang pernah dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan DUN Anak Bukit yang disandang wakil parti tersebut iaitu Datuk Amiruddin Hamzah.
Sementara itu, Hamzah yang merupakan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pembahagian kerusi di antara parti dalam PN masih belum muktamad.
“Kita sedang berbincang, jadi belum putuskan lagi tetapi kita sudah beberapa kali bincang kerusi-kerusi yang akan diagihkan kepada parti dalam PN.Tiada masalah di antara kami (berkenaan pembahagian kerusi) kami (dalam PN) macam adik-beradik,” ujarnya. – MalaysiaGazette