Pelarian, Ali Al Wais dihantar balik ke Syria dari Turki selepas memasuki negara itu secara haram bercakap kepada Malaysia Gazette di Azaz, Syria. Foto FAREEZ FADZIL, 23 FEBRUARI 2023.

AZAZ (Syria)-Dihantar pulang ke Syria bersama lima anak dan terpaksa meninggalkan isteri di Kilis, Syria menjadi satu lagi ujian Ali al Wais.

Ketika sebahagian besar pelarian lain beratur menunggu makanan di Kem Ewaq, di Azaz, dia datang menghampiri anggota misi Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye-Syria Mapim.

Loghat pekat Syrianya menyebabkan perkara yang cuba dibualkan mengambil masa untuk difahami.

Sama seperti kebanyakan pelarian yang lain, Ali al Uwais bercerita mengenai kepayahan yang dilalui.

“Aku baharu dihantar pulang daripada Kilis (bandar di Turki yang bersempadan dengan Syria) bulan lepas.

“Aku bawa lima orang anak tetapi isteri masih di sana,” dakwanya.

Menurut Ali, dia kini tiada sebarang punca pendapatan.

“Lapar dan kenyang aku dan anak-anak di sini bergantung sepenuhnya dengan bantuan yang saudara hantar.

Menurut Ali, sepanjang berada di Turkiye dia bekerja sebagai buruh dan memperolehi pendapatan sendiri walaupun diibarat seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Meskipun dalam keadaan begitu, dia merasa bangga kerana mampu meneruskan hidup tanpa meminta-meminta.

“Bantuan yang kami terima tidak banyak.

“Kami terima bantuan makanan dan beberapa lagi barangan lain. Namun tidak mencukupi,” ceritanya.

Ketika ditanya sama ada terkesan akibat gempa bumi yang berlaku, dia berkata dia hanya merasai gegaran dan berada dalam keadaan selamat kerana berada di dalam khemah di kem pelarian.

Berbeza pula cerita Saad Salleh.

Dia yang dulu mendiami rumah sendiri kini terpaksa hidup berhimpit-himpit di kem pelarian selepas kediamannya runtuh akibat gempa.

“Selepas gempa bumi ramai datang sini untuk berlindung.

“Ramai orang baru pindah ke kem ini,” katanya.

Usai bersembang ringkas, Ali datang semula ke arah kami dengan membawa anak perempuannya.

Ketika didekati, secara berselindung dia cuba menyampaikan apa yang tersirat di hati.

“Adakah saudara membawa apa-apa untuk anakku ini?” tanyanya.

Dalam situasi berpuluh orang sedang beratur, ia memerlukan jawapan yang penuh hikmah.

“Kami membawa bantuan untuk semua, pengagihan makanan ini pun untuk anak kamu juga”.

Bukan mudah untuk mengeluarkan kata-kata itu, tetapi ia terpaksa dilafaz kerana mengambil kira kepentingan semua.

Pengalaman bersama misi sebelum ini yang menyaksikan anak-anak pelarian bergaduh kerana tidak mendapat gula-gula benar-benar menginsafkan.

Lebih baik jangan!-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast