KUALA LUMPUR – Seramai 3.35 peratus daripada 76,381 pelbagai petugas kesihatan daripada pelbagai skim perkhidmatan dikesan mengalami gejala gejala tekanan, keresahan dan kemurungan tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, gejala tersebut dikesan selepas kakitangan terbabit menjalani saringan kesihatan mental.
“KKM mengambil maklum bahawa mana-mana pekerja yang bekerja dalam tempoh yang panjang boleh mempengaruhi masalah mental mereka.
“Masalah kesihatan mental boleh berpunca daripada pelbagai faktor psikologi termasuklah kegagalan mencapai keseimbangan kehidupan dan pekerjaan.
“KKM telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menambah budaya kerja perkhidmatan kesihatan pada Mei 2022,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Titah Diraja bagi Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, tahun lalu turut mencatatkan sebanyak 1,014 permohon doktor dukalara diterima untuk berpindah dan sebanyak 673 telah diluluskan.
Dr. Zaliha berkata, seramai 3,386 daripada 29,548 pegawai perubatan lantikan kontrak telah meletakkan jawatan dalam tempoh lima tahun dari 2017 hingga 2021.
“Purata ialah 1.91 peratus setahun. Seramai 110 orang atau 1.8 peratus daripada 6,120 pada tahun 2017. 168 orang iaitu 1.25 peratus daripada 11,044 orang pada 2018, 475 daripada 17,183 orang pada 2019, 511 orang pada 2020 daripada 22,296 dan 768 iaitu 2.9 peratus daripada 26,303 orang pada 2021,” katanya.
Manakala tahun lalu, seramai 1,354 atau 4.58 peratus daripada 29,548 orang doktor kontrak meletakkan jawatan.
Faktor peletakan jawatan antaranya memilih berkhidmat dengan sektor swasta, membuka klinik sendiri, melanjutkan pelajaran, berhijrah keluar negara dan sebab peribadi termasuk tekanan mental. – MalaysiaGazette