Wan Mohd Zahari Wan Busu.

KUANTAN – Akibat mengubah laluan secara tiba-tiba, seorang jurururawat maut selepas tercampak daripada motosikal diboncengnya apabila dirempuh sebuah jip dalam di Pandan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa, Norsyahirah Mohd Sufiyatol, 27, maut akibat kecederaan serius di kepala.

Siasatan awal mendapati pemandu jip dari arah Indera Mahkota ke arah Pandan  bergerak lurus di lorong sebelah kanan ketika kejadian.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Stesen Minyak Petronas Pandan, Kuantan pukul 9.50 pagi.

“Tiba-tiba penunggang motosikal telah keluar dari simpang sebelah kiri dan terus mengubah lorong dari lorong kiri ke lorong kanan laluan pemandu jip.

“Pemandu jip cuba mengelak namun kerana jarak yang terlalu dekat, berlaku pelanggaran di sisi sebelah kanan motosikal mangsa sehingga mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan,” ujarnya.

Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan proses bedah siasat.

Wan Zahari berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette