Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Iltizam kerajaan hari ini untuk menoktahkan kemiskinan tegar yang merangkumi kira-kira 130,00 orang rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan sepenuhnya.

Untuk itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.

Menurutnya, sejumlah RM750 juta disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, beberapa pendekatan baharu akan dilaksana untuk mengatasi kelemahan pelaksanaan lalu bagi meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar meraih pendapatan.

Antaranya, bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak lagi diberikan sekali gus tetapi secara bulanan dan dipantau sama ada sewa beli kelengkapan atau subsidi penggajian untuk majikan yang mengambil peserta miskin tegar bekerja.

“Aktiviti ekonomi disertai hendaklah yang memenuhi keperluan komuniti setempat terutamanya sektor agropertanian dan makanan untuk memastikan permintaan berterusan.

“Program ini menyasarkan untuk peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperoleh,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan kini membayar bantuan kebajikan bernilai RM2.5 bilion kepada lebih 400,000 penerima.

Bagi menyegerakan data dikemaskinikan dan memastikan tiada lagi yang tercicir daripada menerima bantuan, kerajaan akan melaksanakan pemutihan senarai penerima bantuan bulanan kerajaan antara Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah satu pangkalan data. – MalaysiaGazette