PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memanggil 16 individu bagi merakam keterangan dalam usaha membantu mengenalpasti punca kehilangan serta keberadaan kapal kargo, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Januari lalu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, ia bagi membantu agensi itu mendapat maklumat untuk dijadikan petunjuk dalam meneruskan pencarian krew dan kapal tersebut.
“Antara individu yang dirakam keterangan bantu siasatan adalah pemilik kapal, syarikat dan wakil-wakil atau agen yang dilantik, ahli keluarga mangsa dan bekas crew kapal MV Dai Cat 06,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zubil laporan media mengenai dakwaan seorang wanita bahawa anaknya menerima hantaran video disyaki daripada salah seorang krew kapal berkenaan yang dikatakan mengalami kerosakan enjin dan kini dihanyutkan hingga berhampiran kepulauan Karimun, Indonesia.
Bagaimanapun katanya, hasil siasatan Maritim Malaysia terhadap video berkenaan mendapati ia merupakan rakaman video lama yang dihantar oleh krew kapal berkenaan pada 1 Januari lalu bagi berkongsi keadaan kapal tersebut sebelum ia dilaporkan hilang beberapa hari kemudian.
Sementara itu, Mohd Zubil meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kehilangan kapal MV Dai Cat 06 yang mana ia boleh menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga mangsa selain boleh menjejaskan siasatan. – MalaysiaGazette