ALOR GAJAH – “Ini semua sudah ketentuan Allah, kami reda dengan pemergiaan anak syurga kami, Maryam Sofea yang baharu berusia dua bulan,”
Itu nada sedih diluahkan Meor Syazalee Sha @ Meor Sha, 38, selepas kehilangan anak bongsunya itu dipercayai lemas akibat dihempap anak lelakinya berusia lima tahun ketika sedang tidur di rumah mereka di Taman Bidara Setia, Masjid Tanah di sini semalam.
Menurutnya, ketika kejadian, anak tunggal perempuannya itu sedang tidur bersama isterinya dalam satu bilik manakala tiga lagi anak lelakinya berusia 9, 6 dan 5 tahun tidur di bilik berasingan.
“Isteri hanya menyedari Maryam tidak sedarkan diri pada awal pagi semalam selepas mendapatinya tidak bergerak sebelum menyedari anak lelaki berusia lima tahun tidur di sebelah bayi.
“Selepas mendapati bayi tidak bergerak, kami segera membawanya ke hospital sebelum disahkan telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Meor Syazalee yang juga pensyarah di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Masjid Tanah berkata, walaupun sedih kehilangan anak tunggal perempuan, dia dan isteri reda dengan ketentuan Allah.
“Ujian Allah ini mungkin sedikit sahaja untuk kami jika dibandingkan dengan insan lain yang turut diuji kehilangan ahli keluarga tercinta.
“Saya cuma berharap orang ramai dapat membantu kami agar tidak memberikan sebarang komen yang tidak sensitif yang hanya akan mengganggu emosi kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu ketika dihubungi media berkata, pihaknya hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas mendapat hasil laporan bedah siasat.
Tinjauan MalaysiaGazette di Unit Forensik Hospital Alor Gajah setakat jam 12.20 tengah hari ini mendapati lebih 10 ahli keluarga
sedang menunggu proses bedah siasat selesai sebelum jenazah dijangka dikebumikan di Taman Bidara Setia, Masjid Tanah – MalaysiaGazette.