Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi banyak manfaat kepada penduduk Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, belanjawan tersebut turut memperkasakan pekebun kecil dengan memberi fokus kepada pembangunan agrikomoditi yang lebih bersasar.

“Ini terutama peruntukan RM50 juta geran sepadan untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan artificial intelligence (AI) serta menggaji pekerja tempatan yang berkemahiran.

“Perutukan RM80 juta untuk menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat kempen menangani anti minyak sawit.

“Peruntukan RM50 juta untuk menggunakan teknologi Cuplump Modified Bitumen bagi tujuan penyelenggaraan jalan yang boleh membantu menstabilkan harga getah,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Fadillah juga berkata, sejumlah RM350 juta diperuntukan untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluran Getah (IGP) daripada RM2.50 kepada RM2.70.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih dengan peruntukan berjumlah RM20 bilion bagi meneruskan pembinaan Pan Borneo dan lebuh raya menghubungkan Sabah dan Sarawak.

Selain itu peruntukan khusus berjumlah RM6.5 bilion untuk Sabah dan RM5.6 bilion kepada Sarawak.

“Belanjawan 2023 yang bertemakan Membangun Malaysia Madani juga, jelas membuktikan komitmen dan iltizam berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan.

“Ini terbukti dengan sejumlah RM20 bilion diperuntukan untuk menerus dan menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah serta Sabah Sarawak Link Road dengan jajaran lebih 1,000 kilometer.

“Belanjawan 2023 memfokuskan kepada projek jalan utama Sabah Sarawak, jalan di sempadan dan menaiktaraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan, susulan Nusantara akan menjadi bandar baharu Kalimantan,” katanya.

Peruntukan di bawah 112D kepada Sarawak turut dipertingkatkan kepada RM300 juta tiap-tiap tahun.

Dari segi kemudahan kesihatan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.2 billion bagi penyelenggaraan 400 buah klinik daif dan 380 buah sekolah daif di kedua-dua negeri berkenaan.

“Sudah tentu kita sentiasa mengharapkan (peruntukan) yang lebih banyak. Tetapi akhirnya segala bergantung kepada sama ada kerajaan boleh menyediakan peruntukan.

“Apa yang kita lakukan, apa sahaja peruntukan yang diberikan, kita kena pastikan ia diimplementasi secara efisien dan efektif.

“Jadi ia lebih memberi manfaat kepada rakyat. Kita kena pastikan tidak ada ketirisan,” tegas Fadillah. – MalaysiaGazette