KUALA LUMPUR- Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua peratus melibatkan bayaran lebih RM35,000 hingga RM100,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan itu dijangka memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300 kepada kira-kira 2.4 juta pembayar cukai.
“Selama ini golongan B40 sering diberikan pelbagai bentuk bantuan sementara kumpulan pertengahan M40 menunjukkan kesabaran mereka meski terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam.
“Sukacita diumumkan, kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu yang memberi lebih manfaat kepada mereka,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, kadar cukai bagi golongan berpendapatan tinggi pula akan dinaikkan antara 0.5 hingga dua peratus melibatkan banjaran lebih RM100,000 hingga RM1 juta.
Menurut Anwar, langkah itu bagaimanapun hanya melibatkan kurang 150,000 pembayar cukai.
“Melalui pendekatan ini, langkah ini melibatkan pengurangan hasil cukai bersih kerajaan sebanyak RM900 juta,” katanya lagi.- MalaysiaGazette