KUALA LUMPUR – Komisioner Datuk Hussein Omar Khan telah mengambil alih tugasnya sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu secara rasmi mulai hari ini.
Beliau mengambil alih tugas itu daripada pemangku jawatan itu Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam yang memangku jawatan tersebut selepas Datuk Arjunaidi Mohamed yang bersara wajib pada penghujung tahun lepas.
Majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Selangor itu antara kedua-dua pegawai kanan PDRM kontinjen Selangor itu dihadiri dan disaksikan oleh Ketua Polis Nzegara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Maktab PDRM Cheras hari ini.
Acryl Sani yakin Hussein Omar dapat membawa kontinjen Selangor ke arah kecemerlangan lebih tinggi selepas ini.
“Pengalamannya sebagai Timbalan Pengarah (Operasi/Risikan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta pengalamnya dalam Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diharap dapat membantu membawa kontinjen Selangor dengan kekuatan 14,000 pegawai dan anggota dengan penduduk berpopulasi 7 juta orang dapat dijamin kesejahteraan dan kecemerlangan di negeri itu.
“Bagaimanapun beliau memerlukan sokongan penuh kesemua pegawai kanan di kontinjen Selangor khususnya daripada Ketua-ketua jabatan serta ketua polis daerah di pentadbirannya,” kata beliau dalam ucapannya.
Hussein sejurus menerima kenaikan pangkat serta tongkat kuasa dalam majlis sama, menyifatkan jawatan baharu itu sebagai tanggungjawab berat dan besar yang perlu dipikul seperti dipertanggungjawabkan oleh kepimpinan tertinggi PDRM.
Namun beliau menyatakan komitmennya untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanatkan itu dengan penuh serius dan terbaik menerusi kerjasama semua pegawai dan anggota termasuk masyarakat setempat.
“Saya sedar satu tugas dan tanggungjawab besar dalam memimpin pasukan kontinjen seramai 14,000 pegawai dan anggota namun saya akan melakukan yang terbaik selepas ini.
“Saya juga berharap semua pegawai dan anggota di Selangor bekerjasama rapat dengan saya untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada 7 juta penduduk di negeri Selangor.
“Saya juga percaya pengalamannya selama 27 tahun dalam PDRM selain sokongan semua pegawai termasuk Timbalan saya Deputi Komisioner Sasikala dapat membantu merealisasikan segala misi dan visi yang ditetapkan untuk kontinjen negeri,” tegasnya.-MalaysiaGazette