Logo Bank Simpanan Nasional (BSN)

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) ke atas pendapatan bercukai bagi RM150,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

Pengurangan ini dapat memberi penjimatan sehingga RM3,000 kepada setiap RM150,000 pembayar cukai PMKS.

Perdana Menteri berkata, insiatif ini bagi memastikan PMKS kembali berdaya saing meningkatkan keupayaan perniagaan mereka.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi kemudahan penjaja dan peniaga kecil, kerajaan menyediakan RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf melibat 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.

Selain itu, sejumlah RM176 juta disediakan bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan antaranya di bawah MARA, DBKL, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).

Katanya, agensi-agensi kerajaan akan terus menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan PMKS dengan nilai keseluruhan sehingga RM40 bilion.

Usahawan mikro dan penjaja kecil disediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, BSN dan TEKUN dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion.

Antaranya, RM300 juta dikhaskan untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia.

BSN menyediakan lebih RM1 bilion dengan tumpuan kepada PKS Mikro dan penjaja manakala TEKUN menyediakan RM330 juta termasuk RM10 juta untuk membantu belia daripada keluarga susah meraih pendapatan melalui perniagaan.

Mereka diberi modal memulakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Kerajaan juga bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-hailing.

Bagi perniagaan kecil dan sederhana (SME), hampir RM1 bilion dana pinjaman disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Antaranya untuk meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan.

Manakala Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga 20 bilion ringgit pinjaman PKS dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan kerajaan sehingga 90 peratus.

Jaminan juga diperluas kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi supaya dapat memberi manfaat khusus kepada penjaja kecil. – MalaysiaGazette