PUTRAJAYA  –  “Sempurnakan tanggungjawab dengan baik.”

Itu komen ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya apa perasaannya sebelum membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di sini hari ini.

Anwar  yang juga Menteri Kewangan meninggalkan pejabatnya di Putrajaya kira-kira pukul 3.07 petang menuju ke Parlimen.

Beliau mengenakan baju Melayu berwarna biru muda lengkap bersamping, bersongkok dan bercapal, memegang beg fail dengan corak songket dari Sarawak berisi buku belanjawan.

“Samping saya dari Penjara Penor, Pahang dan capal dari Kepala Batas, Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Anwar menyertai bacaan doa yang diketuai Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Kewangan, Ustaz Mohamad Zukrillah Ismail di lobi utama kementerian.

Turut mengiringi perjalanan beliau, kedua-dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Johan Mahmood Merican.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Perpaduan ini akan membentangkan belanjawan berkenaan selepas 26 tahun.

Terdahulu media melaporkan, Anwar berkata, Belanjawan 2023 akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa dan pada masa sama memacu pertumbuhan ekonomi negara di samping menarik pelaburan.

Pada tahun lalu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah membentangkan Bajet 2023 dengan peruntukkan sebanyak RM372.3 bilion.

Namun kerana pembubaran Parlimen bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, ia tidak dibahas dan dibentangkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast