KUANTAN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden.
Menteri Besar Pahang itu telah menghantar borang pencalonan ke Ibu Pejabat UMNO Malaysia di WTC, Kuala Lumpur, pada jam 3 petang tadi.
“Saya insaf dan sedar bahawa kedudukan, imej dan prestasi UMNO semakin merosot di mata rakyat terutama selepas PRU-15.
“Atas kesedaran itu, saya berhasrat membantu serta mencurahkan khidmat bakti kepada parti sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu ini.
“Mudah-mudahan bersandarkan kepada usaha, doa dan harapan, ianya mampu untuk melakukan sesuatu demi kelangsungan perjuangan parti.
Wan Rosdy memohon akar umbi UMNO untuk menilai pengalaman dan sumbangan yang telah saya berikan kepada parti selama ini, khususnya ketika mencetuskan kemenangan pertama parti di PRK Parlimen Cameron Highlands, selepas PRU14.
Kebangkitan di Cameron Highlands ini kemudiannya diteruskan di pilihah raya kecil lain termasuklah di Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim River.
“UMNO Pahang banyak membantu parti ketika 22 bulan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan serta membantu kemenangan parti dalam Pilihan Raya Negeri di Sabah, Melaka dan Johor.
“Terbaharu, UMNO Pahang berjaya bangkit dengan pantas selepas PRU-15, dengan mencipta kemenangan di DUN Tioman yang menjadi benteng terakhir parti ketika mana tsunami politik melanda negara, walaupun ramai yang menjangkakan BN akan tewas teruk seperti mana yang berlaku di Padang Serai.
Malah ujar Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai ini berkata, UMNO Pahang berupaya mempertahankan 17 kerusi DUN yang merupakan bukti keupayaan dan kemampuan UMNO Pahang meskipun tsunami melanda negara pada PRU-15 lalu.
“Ekoran daripada kejayaan yang direkodkan serta hasil perbincangan bersama rakan -rakan perjuangan, mereka telah meminta saya untuk meneruskan khidmat bakti dan berkongsi formula kemenangan ini kepada parti dengan cara yang lebih bermakna melalui jawatan naib presiden.
“Insya Allah berbekalkan semangat dan iltizam ini serta dengan segala pengalaman yang ada, saya beriltizam dan bertekad untuk membantu kepimpinan parti terutamanya Presiden dan Timbalan Presiden bagi memastikan UMNO kembali bangkit memenangi hati rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette