KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan musim 2023 dengan bergaya selepas menewaskan Terengganu 2-0 pada perlawanan Sumbangsih untuk mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah di selatan tanah air buat kali keenam berturut-turut, malam tadi.
Kejayaan memenangi aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu turut memberi tiga mata buat skuad Harimau Selatan dalam misi menjuarai Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut apabila perlawanan Sumbangsih kembali dikira sebagai aksi liga musim ini.
Pada perlawanan kompetitif sulung JDT di bawah era pengendali dari Argentina, Esteban Solari itu. pemain tengah import baharu, Juan Muniz dari Sepanyol dan penyerang prolifik dari Brazil, Bergson da Silva masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.
Muniz, bekas pemain kelab Greece, Atromitos tidak menunggu lama untuk memperkenalkan diri kepada peminat tempatan khususnya JDT apabila meledak gol sulung pasukan seawal minit kelima selepas bijak mencari ruang untuk melompat tinggi menanduk masuk hantaran lintang Bergson.
Anak buah Solari yang menguasai perlawanan dengan memperagakan permainan menarik berpeluang menggandakan kedudukan pada minit ke-37, namun percubaan Bergson dalam kotak penalti selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid digagalkan penjaga gol Terengganu Mohd Suhaimi Husin.
Pasukan pelawat yang menurunkan dua pemain import baharu iaitu penyerang sensasi Thailand, Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut dari Croatia bagaimanapun bergelut untuk menembusi benteng pertahanan JDT pada separuh masa pertama sekali gus kedudukan kekal 1-0 sehingga rehat.
Bersambung babak kedua, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 Arif Aiman Mohd Hanapi terlepas peluang untuk melebarkan penguasaan selepas berjaya menggelecek tiga pemain dalam kotak penalti apabila rembatannya tepat ke Mohd Suhaimi.
Namun, gol kedua yang dicari-cari akhirnya dijaringkan Bergson enam minit kemudian selepas menyambut hantaran lintang Arif Aiman menggunakan lutut sekali gus ‘menggegarkan’ gelanggang keramat dengan sorokan penyokong setia.
Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dan cukup untuk membolehkan JDT mendakap Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali kelapan sejak musim 2015.
Sementara, Terengganu yang dibimbing jurulatih dari Croatia, Tomislav Steinbruckner terpaksa akur gagal untuk sekurang-kurangnya mengikat JDT dalam tempoh permainan 90 minit bagi membawa pulang satu mata.
Bagi aksi Liga Super seterusnya, JDT dan Terengganu masing-masing akan bertemu Kuala Lumpur City dan Kedah Darul Aman di gelanggang lawan. – BERNAMA