KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas melarikan diri daripada rumahnya gara-gara merajuk kerana pertelingkahan kecil dengan anak-anaknya.
Orang hilang itu dikenalpasti sebagai Rahmah Jamal, 69, seorang warga tempatan dipercayai lari meninggalkan kediamannya di Ijok, Kuala Selangor dekat sini sejak 15 Februari lalu.
Salah seorang anaknya, Nor Liza Ibrahim, 46, berkata, adik tirinya itu bertelingkah dengan ibunya (Rahmah) mengenai satu perkara yang enggan didedahkannya sehingga membuatkan ibunya itu meninggalkan rumah dan menghilangkan diri.
“Ibu tinggal bersama adik tiri yang mana jarak di antara rumah adik dengan saya adalah lebih kurang dalam satu kilometer sahaja.
“Kira-kira pukul 2.30 petang pada 15 Februari itu (hari kejadian), adik tiri bawa ibu ke rumah namun ibu tidak mahu ke rumah kerana sudah tawar hati,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Melihat Rahmah meninggalkan rumah, Nor Liza segera menyuruh anak keduanya, Nurul Aini Syafiqah Dina, 18, untuk mengejar, memujuk serta membawa pulang ibunya yang merajuk.
Katanya, usaha itu tidak berjaya apabila Rahmah meminta Nurul Aini pulang ke rumah dan meninggalkan dirinya seorang diri.
“Ibu beritahu pada anak saya, dia hendak bawa diri dan mampu jaga diri dan tidak perlu risau mengenainya. Saya dan adik beradik lain bertungkus lumus cuba menghubungi ibu menerusi panggilan telefon bimbit namun namun gagal dihubungi,” katanya.
Menurutnya, dia dan adik beradiknya yang lain sudah puas mencari Rahmah di seluruh Kuala Selangor namun masih gagal dikesan sehingga kini.
Nor Liza juga memaklumkan adik tirinya serta seorang lagi adik kandungnya, Norlizawati Ibrahim, 43, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Balai Polis Bestari Jaya Sabtu lalu untuk meminta bantuan polis menjejaki ibunya yang hilang itu.
“Sekiranya orang ramai menjumpai atau mempunyai maklumat di mana Rahmah berada, mereka boleh hubungi saya di nombor 019-289 9389.
“Semasa melarikan diri, ibu (Rahmah) memakai baju lengan panjang warna hijau pucuk pisang, bertudung hitam, berseluar panjang hitam dan membawa sebuah beg tangan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berhubung kes kehilangan seorang wanita warga emas.
Katanya, polis sedang menyiasat kes ini dan usaha dipergiatkan untuk mengesan orang hilang itu.
“Polis telah membuka siasatan kes itu di bawah kes orang hilang dan anggotanya sedang mencari Rahmah di seluruh daerah Kuala Selangor.
“Kita akan menguar-uarkan mengenai kehilangan Rahmah di semua IPD di seluruh negara mulai hari ini,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh tampil segera dan membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette