sistem bekalan
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Pemberian subsidi dan insentif bagi industri padi dan beras berjumlah RM1.6 bilion diperuntukkan dengan tambahan RM228 juta sumbangan tunai kepada pesawah serta perkongsian 30 peratus keuntungan bersih import beras kepada pesawah oleh BERNAS akan dapat membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pesawah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata demikian mengulas Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam.

“Penggunaan automasi dan pendigitalan dalam sektor pertanian menyumbang kepada peningkatan kualiti pengeluaran dan produktiviti tenaga kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan ini, inisiatif melalui dana Skim Pembiayaan Agrofood, program Digital AgTech, Elaun Modal Dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal telah ditekankan untuk memperluas dan memperkasa penerimagunaan teknologi moden.

“Kolaborasi oleh semua pihak berkepentingan adalah diperlukan bagi menjamin ekosistem agromakanan yang mampan. Saya menyambut baik agenda keterjaminan makanan merentas kementerian dan kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dinyatakan dalam belanjawan ini,” ujarnya.

Inisiatif-inisiatif yang diumumkan adalah penanaman jagung bijian, Jualan Rahmah, platform Cloud Kitchen dan program Kebun Komuniti bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Kerajaan turut menggalakkan pelaburan swasta berskala besar
berasaskan pertanian bagi meningkatkan pengeluaran makanan, katanya.

Sebagai peneraju dalam agenda keterjaminan makanan negara, KPKM komited melaksanakan inisiatif-inisiatif Belanjawan 2023 secara cekap dan berhemat demi kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin inisiatif Belanjawan MADANI akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi selari dengan objektif dan sasaran di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast