Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) beramah mesra bersama peserta usahawan pada Majlis Keusahawan Wanita Bangkit Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Hotel Grand Chample, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Program Wanita Bangkit @KPWKM MyKasih Kapital telah berjaya membantu seramai 16,950 orang wanita  menjalankan perniagaan sejak ia mula dilancarkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Syukri melahirkan rasa teruja dengan kejayaan memperkasakan golongan hawa di negara dengan begitu agresif sekali.

“Dalam jelajah lawatan kerja saya sejak meneraju KPWKM dan sebagai Pengerusi YKN, dari Januari 2023 hingga hari ini seramai 2,180 orang peserta telah menghadiri kursus Program Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih Kapital yang meliputi peserta dari seluruh negara.

“Kita tidak akan berhenti di sini, minggu depan kita akan membawa program ini ke Pulau Pinang pula.

“Inisiatif seperti ini adalah bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI di bawah Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan Perdana Menteri dalam memastikan golongan sasar tidak terpinggir dalam arus pembangunan ekonomi negara.

“Peserta yang mengikuti kursus dan menerima bantuan modal MyKasih Kapital telah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

”Contohnya jualan makanan bermasak, makanan sejuk beku, jualan produk kecantikan, jualan pakaian dan ada di antaranya memulakan perniagaan dengan menjadi ejen dropship dan hanya perlu bekerja dari rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Bangkit Wanita@KPWKM anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Hotel Grand Campbell hari ini.

Kata Nancy, melalui pemantauan yang dijalankan selepas enam bulan, daripada 14,770 peserta, 90 peratus telah meningkatkan pendapatan dari RM500 hingga RM1,000 sebulan.

Manakala 10 peratus lagi telah mendapat peningkatan sehingga RM3,000 sebulan.

“Bukankah ini satu satu pencapaian yang sangat membanggakan. Siapa kata wanita tak hebat? Program Wanita Bangkit ini telah membuka mata pelbagai pihak untuk bersama kementerian melalui YKN membantu wanita khususnya.

“Terima kasih kepada semua rakan strategik yang sentiasa menyokong dan bekerjasama bagi memastikan taraf ekonomi golongan wanita kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast