Fahmi Fadzil berucap di Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor, hari ini.

PETALING JAYA – Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil mendedahkan, ada dalam kalangan ahli akar umbi parti itu yang mula meminta wang dan imbuhan selepas Pakatan Harapan (PH) kembali menerajui kerajaan.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu memberi amaran kepada mana-mana pimpinan dan akar umbi parti supaya tidak menjadikan amalan itu sebagai budaya dan barah dalam parti.

Fahmi menegaskan, budaya itu tidak pernah wujud dalam sejarah dan identiti PKR yang sejak sekian lama hanya memperjuangkan nasib rakyat, dan ia berisiko merosakkan parti jika ia tidak dihentikan, lapor Berita Harian.

“Kita tak berjuang untuk jawatan, kita tak berjuang untuk ‘ghanimah’ (harta perang). Saya dengar ada bibit-bibit yang sebenarnya merosakkan perjuangan kita. ‘Ada elaun tak nak datang mesyuarat?’ Jangan ada perkara seperti itu.

“Kena ingat, kita lahir di jalan raya dan berjuang berdepan dengan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan). Kita perjuangkan nasib rakyat, bukan poket, bukan kocek, bukan projek,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan tidak pernah meminta atau melobi untuk mendapat jawatan Menteri Komunikasi dan Digital yang disandangnya ketika ini, sebaliknya hanya dimaklumkan kira-kira lima minit sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkannya secara langsung kepada umum.

Berkongsi kisah itu, Fahmi memaklumkan pada mulanya Anwar berseloroh dengan memaklumkan namanya terpaksa digugurkan daripada pertimbangan jawatan menteri.

“Saya jawab ok, saya faham. Tapi tiba-tiba Perdana Menteri kata ‘Apa yang kamu faham? Raptai esok jam 9 pagi, angkat sumpah jam 3 petang’. Saya terpinga-pinga dan tanya apa yang dimaksudkan.

“Barulah Perdana Menteri maklumkan, ‘Fahmi, saya lantik kamu jadi Menteri Komunikasi dan Digital.’ Itulah PKR, bagi pun ok, tak bagi pun tak apa. Patuh dan taat.

“Ingat, kita tak berjuang untuk jawatan, kekayaan. Kalau itu yang menjadi paksi, keutamaan, objektif matlamat kita, rosak perjuangan ini. Kita kena ingat tangisan rakyat,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast