GUA MUSANG – Jumlah calon yang ramai menawarkan diri untuk bertanding dalam Pemilihan UMNO 2023 kali ini bukti demokrasi semakin menyubur dalam parti itu, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, hal ini kerana mereka (calon) melihat bahawa UMNO ini mempunyai masa hadapan untuk menterjemahkan potensi itu.
“Bila ramai orang berminat untuk bertanding jawatan-jawatan dalam pemilihan kali ini ia jelas membuktikan demokrasi itu semakin subur dalam UMNO.
“Berbanding pada tahun 2018 apabila pertama kali UMNO dan BN kalah ketika itu, seolah-olah mereka kurang berminat malah ada pemegang jawatan tidak mahu mempertahankan jawatannya tetapi kini berminat semula untuk memegang jawatan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Gua Musang hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Februari lepas hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda serta Puteri Cawangan ialah dari 1 hingga 26 Februari ini.
Selain itu, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai bila keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan diketahui, Ahmad Zahid berkata, jawapan rasmi itu dijangka diketahui selewat-lewatnya akhir minggu depan.
RoS sebelum ini memberikan tempoh 60 hari bermula 20 Januari lepas kepada UMNO untuk mengemukakan maklumat yang diperlukan susulan aduan dua ahli parti itu agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022.
Aduan berhubung dua jawatan yang tidak dipertandingkan itu dikemukakan oleh ahli UMNO Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022. – Bernama