Friday, November 15, 2024
Home Utama Kenaikan cukai hanya bagi individu berpendapatan lebih RM230,000 setahun – Steven

Kenaikan cukai hanya bagi individu berpendapatan lebih RM230,000 setahun – Steven

KUALA LUMPUR – Individu yang mempunyai pendapatan bercukai tahunan melebihi RM230,000 sahaja yang dikenakan kenaikan kadar cukai antara 0.5 hingga 2.0 peratus seperti yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu.

Jika gaji setahun kurang daripada jumlah itu, tiada sebarang cukai tambahan perlu dibayar, jelas Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, jika gaji di bawah RM20,000 sebulan, individu memang tidak akan dikenakan bayar lebih cukai.

Malahan, jika gaji individu kurang RM20,000 sebulan, mereka dapat menikmati penjimatan cukai sehingga RM1,300.

”Bab naik kadar cukai itu hanya akan affect (terkesan)mereka yang bergaji lebih RM20,000 sebulan. Itupun, kalau gaji boleh dicukai dah cecah RM250,000 setahun (gaji bulanan LEBIH RM20,000), cukai yang kena bayar lebih untuk tahun itu hanya RM200 sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sim membuat penjelasan tersebut selepas mendapati ramai yang menyuarakan bantahan tentang peningkatan kadar cukai bagi pendapatan melebihi RM100,000 dalam Belanjawan2023.

”Saya faham pendapatan RM10,000 sebulan kalau di bandar-bandar besar seperti Selangor, KL, Penang, Johor Bahru memang tidaklah semewah yang disangka. Banyak komitmen dan kos kehidupan tinggi,” ujarnya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang ‘maha kaya’ iaitu berpendapatan tinggi, antara 0.5 sehingga dua peratus.

Ia membabitkan setiap banjaran pendapatan lebih RM100,000 hingga RM1 juta.

”Kalau kita turunkan cukai untuk B40, dari mana hasil nak diperolehi? Maka kita cadangkan kenaikan cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi termasuk Ahli Parlimen antara 0.5 sehingga dua peratus melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM100 ribu hingga RM1 juta.
“Namun, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi. “Jumlah ini kecil, cuma mereka ‘maha kaya’, kita naikkan sedikit (cukai) supaya tak kelihatan beban sebab mereka juga ada tanggungjawab.
“Sebab kalau tak nak bebankan orang miskin, maka mereka yang kaya mesti beri sumbangan bagi maksud itu. Ini adalah percukaian progresif,” kata Anwar semasa pembentangan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Timbalan Menteri sebut kos sara hidup yg berbeza..misalnya gaji $10 ribu di KL, JB dan Penang, tak sama dgn kos tinggal di pendalaman. Maka sepatutnya cukai yg dikenakan berbeza antara mereka yng tinggal di KL dengan mereka yg tinggal di luar bandar…

Comments are closed.