Rafizi Ramli-Foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2023.

AMPANG – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilaksanakannya bukanlah bagi mencari populariti, sebaliknya mahu menyelesaikan masalah ekonomi yang sedang dihadapi rakyat.

Jelasnya, program itu merupakan satu pendekatan sederhana untuk jangka panjang dan ia bertepatan dengan tindakan serta dasar kerajaan.

Katanya, beliau mahu apa yang dilakukan mendatangkan manfaat dan bukannya sekadar seperti dibuat oleh kerajaan terdahulu yang hanya melancar dan melaksanakan program namun, tidak memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat.

“Kalau ahli politik buat keputusan dan tindakan itu semata-mata untuk raih populariti, saya lebih baik masuk dalam GegarVaganza.

“Tugas saya sebagai menteri adalah memperbaiki keadaan struktur ekonomi yang ada sekarang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran berkenaan di sini, hari ini.

Rafizi berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wartawan sama ada inisitif yang dilaksanakan oleh beliau dan kementeriannya itu merupakan satu langkah bagi mencari populariti dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu Rafizi berkata, beliau tahu ramai yang akan memberikan pandangan peribadi masing-masing terhadap langkah yang dilaksanakan, tetapi, semua itu akan hilang selepas mereka merasai manfaatnya.

Program IPR merupakan inisitif kerajaan dalam mewujudkan ekosistem yang mampan dan berkelangsungan supaya rakyat dalam golongan B40 keluar dari garis kemiskinan tegar.

Ia merupakan kegiatan penjanaan pendapatan yang dibangunkan bersesuaian dengan keperluan membaiki struktur ekonomi negara di peringkat akar umbi.
– MalaysiaGazette