KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperuntukkan lebih RM313 juta bagi melaksanakan lima inisiatif perlindungan sosial negara pada tahun ini.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk lima program pasaran buru aktif yang turut dilaksanakan tahun ini.
Kesemua program ini merupakan susulan daripada pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.
“Inisiatif perlindungan keselamatan sosial yang diumumkan dalam Bajet 2023 merangkumi Padanan Caruman Pekerja Sendiri, Geran Caruman Suri Rumah Miskin (Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah, SKSSRS), Program Saringan Kesihatan Perkeso Pasca-Covid 19, Geran Penjagaan Kanak-kanak bagi Wanita Kembali Bekerja, dan Perlindungan Tambahan Menerusi Program LINDUNG+.
“Bagi inisiatif pemerkasaan pasaran buruh pula, ia meliputi Program Transisi Pekerjaan Untuk Perantisan TVET & Lepasan Sekolah, Program Bina Kerjaya Pekerja Informal Gig Riders, Pelanjutan Insentif Penggajian Pekerja Secara Bersasar, Elaun Mobiliti dan Pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di UTC Seluruh Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas beliau, Perkeso memperluaskan program bantuan padanan caruman Kerajaan di bawah Belanjawan 2023 dengan pembiayaan 80 peratus pelan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk tiga lagi sektor baharu iaitu sukan, pendidikan dan ejen.
Ujarnya, keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan hanya 34 peratus atau 713,122 individu bekerja sendiri dari 2.1 juta golongan bekerja sendiri di negara ini menyertai skim berkenaan sebelum ini.
Tambah beliau, pembiayaan penuh caruman pula diteruskan kepada sukarelawan di sektor awam seperti sukarelawan APM, petugas pemulihan dalam komuniti, Bomba, pekhidmat rumah ibadat dan RELA, serta pekerja awam berstatus kontrak. Sebanyak RM 100 juta diperuntukkan untuk program ini yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 540,000 orang bekerja sendiri di Malaysia.
Selain itu Mohammed Azman berkata, Perkeso menumpukan liputan perlindungan sosial kepada suri rumah dari isi rumah miskin menerusi peruntukan RM 25 juta bagi melindungi 338,000 suri rumah keluarga miskin selama 12 bulan di bawah SKSSR.
Katanya, sehingga Jumaat yang lalu seramai 168,350 suri rumah dilindungi SKSSR PERKESO, di mana 161,254 daripadanya adalah suri rumah dalam senarai eKasih dan mencarum dengan i-Suri.
Dalam masa yang sama, pertubuhan berkenaan juga akan menggunakan RM70 juta untuk melaksanakan Program Saringan Kesihatan sebagai langkah pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) NCD di kalangan pekerja.
“Untuk menggalakkan wanita kembali bekerja setelah berhenti selepas bersalin, Perkeso akan membuat pindaan ke atas Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 bagi memperuntukkan Geran Penjagaan Kanak-Kanak kepada Wanita Kembali Bekerja. Geran satu bulan bersamaan 80 peratus daripada gaji bulanan berinsurans disediakan untuk kira-kira 136,800 wanita yang kembali bekerja selepas tempoh bersalin. Ini melibatkan pembayaran faedah sebanyak RM 292 juta setahun dan golongan ibu ini akan dibantu untuk bekerja semula menerusi Program Penempatan Pekerjaan MYFutureJobs,” katanya lagi.
Bagi inisiatif Perlindungan Tambahan Menerusi Program LINDUNG+ pula, Perkeso akan bekerjasama dengan penyedia insurans swasta menyediakan pelan perlindungan keselamatan sosial di luar skop perlindungan sedia ada PERKESO.
“Program ini menyediakan perlindungan opsional untuk pekerja berpendapatan melebihi siling RM 5,000 sebulan termasuk rawatan perubatan di bawah Skim Keilatan dan perlindungan bagi penyakit kronik yang tidak dianggap ilat oleh Jemaah Doktor,” tambah beliau.
Menurutnya lagi di bawah Program Transisi Pekerjaan Untuk Perantisan TVET dan Lepasan Sekolah (KerjayaTVET), insentif RM600 sebuan disediakan selama tiga bulan kepada majikan yang menggajikan graduan berkenaan.
“Selain itu, Program Bina Kerjaya menyediakan elaun RM 500 sebulan bagi tempoh 3 bulan kepada gig rider yang aktif menjalani latihan kemahiran untuk mendapat pekerjaan stabil dalam sektor formal. Subsidi bayaran Yuran Latihan juga disediakan untuk membolehkan pekerja gig menjalani pengajian microcredentials di IPTA atau IPTS.
“Microcredentials adalah kursus pendek daripada program yang mendapat akreditasi, yang akan membolehkan pelajar lebih fokus kepada topik mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka,” beliau menambah.
Perkeso juga katanya, melanjutkan Insentif Penggajian Secara Bersasar termasuklah bantuan mobiliti sebanyak RM500 hingga RM1,000. Bantuan sekali beri (one-off) yang layak dipohon oleh individu yang sedang mencari pekerjaan.
“Perkeso juga akan memperluas akses peluang kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan kepada setiap lapisan masyarakat di Malaysia menerusi MYFutureJobs. PERKESO menghargai mandat daripada Kerajaan dengan peruntukan RM 8 juta bagi menaik taraf pusat UTC di seluruh negara dan menjadikannya Pusat satelit MYFutureJobs yang menyediakan khidmat pekerjaan seperti jawatan kosong, sesi temu duga bersama majikan dan kaunseling kerjaya untuk manfaat pencari kerja termasuk bakal graduan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette