Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan filem Mentega Terbang kerana didakwa mempromosikan pluralisme.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, filem tempatan itu cuba menimbulkan provokasi kerana terdapat dialog yang menyentuh sensitif agama dan menyindir hukum hakam Islam.

“Filem Mentega Terbang mempromosikan doktrin kelahiran semula agama.

“Kalau kita tengok sinopsis filem ini, akhir sekali seolah-olah meletakkan agama ini sama.

“Amat bahaya filem ini ada dialog Aishah kepada kawan-kawan berbangsa India, saya boleh makan babi, saya tak kisah.

“Saya sangat terganggu dengan dialog seperti ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Putra, di sini, hari ini.

Filem Mentega Terbang yang berdurasi 1 jam 44 minit itu mendapat pujian penonton yang ditayangkan di platform internet Viu sejak 19 Januari lalu.

Sinopsis filem ini antara lain mengisahkan seorang remaja bernama Aishah, 16 tahun, mengkaji al-Quran, Bible, Turah, Hindu dan Buddha untuk mencari jawapan kehidupan selepas kematian.

Filem yang diterbitkan Tan Meng Kheng dan pengarahan Khairi Anwar turut mengisahkan Aishah tertarik dengan agama yang percaya kepada kehidupan semula.

Dalam pada itu, Ibrahim juga khuatir sekiranya filem itu tidak diharamkan, ia boleh mengelirukan anak-anak muda khususnya yang tiada asas agama.

“Apatah lagi tiada latar belakang pengetahuan agama, boleh merosakkan akidah.

“Ada dialoq Aishah kata pada kawan baik berbangsa India, saya boleh makan babi. Saya tak kisah.

“Saya sangat terganggu dengan dialog seperti ini,” katanya.

Katanya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak mengambil mudah perkara itu.

“Jangan bermain politik dengan filem ini. Saya harap tiada kebimbangan, soal takut tak dapat undi daripada kaum bukan Melayu

“Letaklah tanggungjawab menjaga kumpulan Islam ini lebih daripada segala-galanya.

“KDN hendaklah merampas filem asal original dan jangan dibiarkan nanti di terbit melalui Netflix, nanti seluruh dunia tengok anak Melayu cakap macam ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette