BAYAN LEPAS – Seorang wanita warga emas parah selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri melibatkan jentera forklift di Kompleks MASKargo di sini hari ini.
Kejadian jam 12 tengah hari itu, menyebabkan kedua-dua kaki mangsa, Jami @ Jumi Shariff, 75, hancur.
Difahamkan, mangsa bekerja sebagai tukang cuci sudah lebih 15 tahun di kompleks berkenaan.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam, Leftanan (PA) Noor Azizan Zakaria, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.16 tengah hari berhubung kejadian daripada salah seorang pekerja di kompleks tersebut.
“Empat anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan kita dapati seorang wanita warga emas mengalami kecederaan parah pada kedua-dua dipercayai akibat kemalangan membabitkan forklift.
“Kedua-dua belah kaki mangsa hancur dan anggota memberikan rawatan awal kepada kepadanya termasuk memasang splint (bidai bagi mengelakkan tubuh bergerak).
“Mangsa berada dalam keadaan sedar ketika itu dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 15 saat menunjukkan sebuah forklift melanggar seorang wanita yang sedang berjalan dalam kawasan kompleks tersebut. – MalaysiaGazette
semoga mak cik Jumi ini dipermudahkan Allah segala urusannya.. dan cepat sembuh…