KUANTAN – Kerajaan Pahang dalam cadangan melaksanakan sistem lampu isyarat pintar di bandar raya Kuantan dalam masa terdekat ini bagi menangani kesesakan lalulintas pada waktu puncak.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ‘Smart traffic lights’ oleh Syarikat Itmax System akan dijadikan sebagai projek perintis.
Sistem itu akan dilaksanakan di Jalan Beserah, Jalan dari KMC ke IIUM (Indera Mahkota) dan ke Kota SAS.
Keberkesanannya akan dipantau dalam tempoh tiga bulan.
“Antara jalan yang sering mengalami kesesakan adalah seperti di jalan Kuantan-Gambang, Jalan Beserah, Jalan Bypass di pesimpangan Permatang Badak, Jalan Semambu (flyover) dan beberapa lokasi lagi.
“Jalan Kuantan – Muadzam persimpangan Paloh Hinai dan Peramu, Pekan juga kerap mengalami masalah yang sama.
“Cadangan tersebut juga telah dikemukakan oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang bagi penggunaan teknologi itu kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan dan Pembentangan Cadangan Projek Pembangunan Sistem Bandar Pintar dan Selamat merangkumi Sistem Trafik Light Pintar (Safe & Smart City) di Bilik Mesyuarat JKR Negeri Pahang di Kuantan, hari ini.
Tambah Fakharuddin, kerajaan negeri mengambil berat dan sentiasa mencari jalan terbaik untuk mengatasi kesesakan lalu lintas.
“Kerajaan negeri mahu ia diselesaikan segera sama ada melibatkan jalan-jalan persekutuan atau jalan negeri.
“Selain dari membina jambatan dan flyover baharu, membuat jalan alternatif atau mengawal lalu lintas, penggunaan teknologi terkini ‘smart traffic lights or Intelligent traffic lights’ juga penting bagi mengatasi isu kesesakan lalulintas ini,” katanya. – MalaysiaGazette