Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pihak polis sedang menyiasat tiga individu yang terlibat dalam pergaduhan di persimpangan Jalan Timur, Kg Selayang Pandang, Batu Caves, Selangor yang tular di Twitter hari ini.

Pergaduhan itu melibatkan tiga lelaki.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian tersebut berpunca daripada tidak puas hati seorang yang menunggang motosikal dengan penunggang lain sehingga hampir menyebabkan kemalangan sehingga tercetus.

Kemudian datang satu lelaki lain yang melalui jalan tersebut lalu masuk campur dan berlaku pergaduhan.

”Sehingga kini pihak yang terlibat dalam pergaduhan ini masih belum membuat laporan polis.

“Pihak polis telah berjaya mengesan lelaki berumur 23 tahun yang terlibat dalam insiden itu dan telah dibawa ke IPD Gombak untuk membantu siasatan manakala dua lagi masih dikesan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat dalam kes ini, Insp Khalpana A/P Rajandhiran di talian nombor 03-61262222 / 012-5018901. – MalaysiaGazette