KUALA  LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia pada bulan Januari 2023 bernilai RM207.5 bilion (+1.9% tahun ke tahun) dengan nilai eksport RM112.8 bilion (+1.6% tahun ke tahun) dan import bernilai RM94.7 bilion (+2.3% tahun ke tahun).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport mengikut negeri menunjukkan eksport pada bulan Januari 2023 meningkat sebanyak RM1.8 bilion (+1.6%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM1.9 bilion), Johor (+RM1.6 bilion), Labuan (+RM943.1 juta), Sarawak (+RM909.7 juta), Kuala Lumpur (+RM797.1 juta), Negeri Sembilan (+RM306.7 juta), Kelantan (+RM7.7 juta) dan Perlis (+RM1.6 juta).

Walau bagaimanapun, eksport menyusut di Selangor (-RM2.4 bilion), Pahang (-RM661.0 juta), Sabah (-RM650.8 juta), Perak (-RM587.0 juta), Kedah (-RM156.8 juta), Melaka (-RM104.9 juta) dan Terengganu (-RM64.4 juta).

”Import pada bulan Januari 2023 juga meningkat RM2.2 bilion (+2.3%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi oleh kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM2.2 bilion), Melaka (+RM1.4 bilion), Kuala Lumpur (+RM550.5 juta), Terengganu (+RM349.7 juta), Negeri Sembilan (+RM348.8 juta), Sabah (+RM282.0 juta), Labuan (+RM130.2 juta), Sarawak (+RM95.2 juta) dan Perlis (+RM18.5 juta).

Tetapi import menyusut di Pulau Pinang (-RM2.2 billion), Selangor (-RM543.2 juta), Perak (-RM287.2 juta), Kedah (-RM258.0 juta), Pahang (-RM87.0 juta) dan Kelantan (-RM36.2 juta).

Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 32.4 peratus, diikuti oleh Johor (19.3%), Selangor (16.6%), Sarawak (8.4%) dan Kuala Lumpur (4.6%).

Sementara itu, bagi import, Selangor merupakan penyumbang utama dengan 26.3 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (21.5%), Johor (20.7%), Kuala Lumpur (7.4%) dan Kedah (6.1%). – MalaysiaGazette