Wan Abdul Jamaludin Wan Mohamad merenung nasib kerana tidak dapat turun ke laut mencari rezeki di Kuantan.

KUANTAN – Golongan nelayan di Kampung Pantai Beserah di sini terkilan kerana Belanjawan 2023 baru-baru ini seolah-olah meminggirkan mereka.

“Memang saya perhati hari-hari. Sebelum dan selepas Belanjawan 2023. Rasa terkilan sikit bagi kami para nelayan pantai ini tak termasuk dalam belanjawan tu.

“Saya minta maaf nak cerita dan saya pun berterima kasih kepada kerajaan dengan elaun sara hidup nelayan yang RM300 sebulan tu masih diteruskan.

“Cuma yang kita terkilan, contohnya, golongan petani (pekebun kecil), ada tambahan elaun musim tengkujuh dari RM600 kepada RM800,” luah Abdul Aziz Razali, 53 ketika ditemui di sini semalam.

Abdul Aziz Razali

Lebih mengecewakan, katanya, kira-kira 60 orang nelayan di kampung tersebut kini tiada punca pendapatan kerana sudah hampir empat bulan tidak dapat turun ke laut ekoran cuaca tak menentu.

Menurut Aziz, kebiasaannya bermula pertengahan Januari atau Februari, mereka sudah boleh turun ke laut seperti biasa namun dengan keadaan cuaca tidak menentu tahun ini, mereka sendiri tidak pasti bila boleh turun ke laut mencari rezeki.

“Itu kita minta menteri kita, Datuk Seri Mohamad Sabu turun padang dengar keluh kesah nelayan. Mungkin (menteri) boleh minta jumpa Perdana Menteri (PM) untuk tambahan Belanjawan 2023 untuk nelayan pantai.

“Apa salahnya Datuk Seri Mohamad Sabu jumpa PM untuk minta bajet tambahan untuk nelayan. Sebab dengan keadaan cuaca sekarang memang teruk nak cari makan,” tambahnya lagi.

Ombak besar dengan angin kuat menghalang para nelayan Kampung Pantai Beserah turun ke laut hampir empat bulan

Sekiranya kerajaan tidak dapat menambah elaun sara hidup nelayan sepanjang musim tengkujuh, Aziz turut mencadangkan agar bantuan secara sekali bayar (one-off) dapat dipertimbangkan.

Bukan niat mereka meminta-minta namun golongan nelayan kini benar-benar dalam kesempitan ditambah musim persekolahan yang akan bermula diikuti bulan puasa dan seterusnya hari raya yang memerlukan belanja untuk keluarga.

“Sekali lagi saya minta kepada kalau boleh, PM dan menteri kita. Orang kata, kalau anak, dia mengadu kepada emak ayah. Kita sebagai rakyat ini, itu lah tempat kita mengadu. Menteri kita macam emak ayah kita. Ini anak-anak susah ini. Tolonglah rakyat.

“Kalau boleh beri one-off untuk nelayan tak kiralah berapa pun kerajaan nak berikan. Tak kisahlah. Saya memang bersyukur diberikan elaun RM300 sebulan itu tapi dengan keadaan susah begini, mungkin kerajaan boleh berikan one-off bantuan untuk nelayan,” luahnya.

Sementara itu, Wan Abdul Jamaludin Wan Mohamad, 53 pula sanggup bergadai nyawa turun ke laut untuk mencari rezeki jika terpaksa.

Empat bulan tidak dapat mencari rezeki membuatkannya dan keluarga kini mengikat perut malah terpaksa berhutang di kedai runcit untuk mendapatkan keperluan barangan dapur.

Wan Abdul Jamaludin Wan Mohamad

“Memang kita sangat perlukan bantuan terutamanya daripada kerajaan. Fasal sekarang ini kita tak dapat apa-apa bantuan pun.

“Sejak bulan November kita tak boleh pergi ke laut, masuk bulan Disember, Januari dan Februari. Empat bulan kering air mata menangis,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai nelayan sepenuh masa sejak 20 tahun lalu mendedahkan pernah berhutang dengan kedai runcit di sini sehingga hampir RM300 dan membayar secara ansuran setelah memperoleh elaun sara hidup nelayan.

“Bila musim ini (tengkujuh), memang setiap tahun kita berhutang. Ada buku hutang. Nanti boleh ke laut barulah tolak sikit-sikit.

“Anak nak makan. Kalau nak menangis, sampai tiada air mata dah nak menangis. Sedih,” luah bapa kepada lima anak itu.

Wan Abdul Jamaludin Wan Mohamad memeriksa keadaan bot miliknya di Kampung Pantai Beserah, Kuantan

Kata Jamaludin, kerajaan juga seharusnya mengambil kira kepentingan peranan nelayan yang menyumbang kepada pendapatan negara.

“Kita minta bantuan. Kalau boleh, tengoklah nelayan ini. Marilah tengok keadaan kita, berapa lama tak ke laut. Tanya khabar pun kami lega la sikit.

“Dengar cerita masalah kami ini. Bukan kita minta hari-hari datang. Cuma kita nak luahkan apa yang kita rasa. Kita rasa susah sangat sekarang. Tahun lepas tak susah macam ni. Tahun ini memang susah betul,” ujarnya.

Berbanding golongan pesawah padi yang menerima peruntukan RM1.6 bilion untuk pelbagai subsidi dan insentif meliputi harga padi, baja padi, dan padi huma, tiada peruntukan tambahan diberikan kepada kalangan nelayan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 24 Februari lalu.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan yang manfaatkan 320,000 pekebun kecil.

Belanjawan 2023 bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’ membabitkan peruntukan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast