Suspek (baju putih) dibawa bagi permohonan reman di Mahkamah Taiping, Perak hari ini.

TAIPING – Seorang pegawai pemasaran sebuah bank di sini, diberkas selepas dipercayai menggunakan kad kredit atas nama pelanggan hingga mengakibatkan kerugian bernilai lebih RM500,000.

Lelaki berusia 31 tahun itu diberkas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping yang diketuai Inspektor T. Selvakumar di rumahnya di Kuala Lumpur semalam.

MalaysiaGazette difahamkan, tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan pengurus bank berkenaan membuat laporan pada 17 Januari lalu mendakwa mengalami kerugian berjumlah hampir RM570,000 disebabkan kegiatan suspek.

Kegiatan suspek terbongkar selepas pihak bank menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa tidak membuat permohonan kad kredit namun mendapat notis perlu membuat pembayaran.

Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan.

Hasil semakan membawa kepada pendedahan salah seorang pegawai pemasaran bank berkenaan melakukan permohonan kad kredit dengan menggunakan identiti orang lain sejak tahun 2020.

Difahamkan, modus operandi suspek adalah membuka kiosk permohonan kad kredit di pasar raya tertentu sebelum mengubah maklumat alamat pemohon.

Setakat ini, sebanyak 18 kad kredit milik pelanggan yang diluluskan bank berkenaan dihantar ke alamat suspek dan dipercayai diguna lelaki dengan cara membuat pengeluaran tunai hingga mengakibatkan bank mengalami kerugian hampir RM570,000.

Sementara itu, Majistret Atiqah Sabari mengeluarkan perintah reman terhadap suspek selama empat hari di Mahkamah Taiping hari ini.

Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.