KUALA LUMPUR — Rakyat Malaysia boleh menikmati Pek Pakej Perpaduan Internet Perpaduan Internet Mudah Alih daripada mana-mana penyedia perkhidmatan bermula hari ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pakej yang berharga RM30 itu berkapasiti 30GB data dengan kelajuan 3Mbps bagi tempoh enam bulan.
“Pakej berkenaan memberikan kuota dan kelajuan yang lebih baik berbanding pakej-pakej sebelum ini.
“Internet kini bukanlah lagi perkhidmatan mewah tambahan tetapi menjadi keperluan seperti bekalan air dan elektrik khususnya selepas negara dilanda pandemik Covid-19 dan pengenalan kepada pembudayaan norma baharu,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pakej itu antara usaha Kerajaan Perpaduan untuk membantu golongan B40, Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan orang kurang upaya (OKU) serta warga emas.
“Usaha berkenaan adalah untuk meringankan beban rakyat dan pada masa yang sama memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan telekomunikasi termasuk internet yang berkualiti dengan harga mampu milik.
“Kerjasama erat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan pihak industri yang sentiasa memberikan sokongan padu akan dapat memastikan pelaksanaan pakej berkenaan berjalan lancar dan sampai ke golongan sasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih di Dewan Serbaguna Perumahan Awam Desa Rejang, di sini hari ini.
Jelas Fahmi, lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan terlibat dalam pelaksanaan pakej itu iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup dan pada masa sama memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh. – MalaysiaGazette