Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap semasa mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR), Batu Caves, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Peluang bagi pembangunan industri halal sentiasa terbuka luas berdasarkan pasaran global halal diunjurkan mencecah RM22.34 trillion sehingga 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), industri halal telah dikenal pasti sebagai sektor strategik dan berimpak tinggi yang akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan negara.

“Nilai pasaran halal domestik Malaysia pula diunjurkan meningkat kepada RM400 bilion, sekali gus menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

“Ia juga dilihat mampu meningkatkan pembangunan tenaga kerja, memacu pembangunan industri, meningkatkan daya saing produk seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab halal global,” katanya ketika berucap ketika melawat Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR), di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menandatangani plug perasmian Desamall ketika hadir ke Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR), Batu Caves, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 FEBRUARI 2023.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berasa bangga kerana MARA mempunyai hampir keseluruhan ekosistem keusahawanan halal yang merangkumi beberapa kemudahan latihan.

“Antaranya untuk membangunkan modal insan, pembangunan perniagaan yang meliputi keseluruhan sistem dalam perniagaan serta menyediakan kemudahan dalam bentuk fasiliti sokongan yang diperlukan oleh sesebuah perniagaan,” jelasnya.

Ujarnya Ahmad Zahid, skop pembangunan industri halal di negara ini amat sesuai untuk semua pengguna tanpa mengira bangsa dan agama.

Ini kerana ia berkait rapat dengan jaminan kualiti, pemuliharaan persekitaran, integriti dan ketelusan data serta amalan perniagaan yang lestari, tambah beliau.

“Halal ini tidak tertakluk kepada penyediaan makanan dan minuman sahaja, tetapi ia juga sesuai diaplikasikan dalam pelbagai sektor industri dan perkhidmatan.

“Konsep Halal terbukti bersifat sejagat untuk diguna pakai oleh semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette