KUANTAN – Penubuhan Kaukus Ahli Parlimen Muda bagi membentuk jawatankuasa kecil yang memperjuangkan dan membawa isu-isu berkaitan anak muda ke peringkat Parlimen merupakan langkah yang baik.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, penubuhan kaukus itu bersesuaian memandangkan ramai ahli dewan rakyat pada penggal ini terdiri daripada golongan muda.
“Kaukus ini akan menjadi satu jawatankuasa kecil yang akan memperjuangkan dan membawa isu-isu berkaitan dengan anak muda ke peringkat Parlimen agar polisi yang baik dapat digubal untuk anak muda.
“Kaukus Bipartisan ini diharap akan disertai oleh ahli-ahli Parlimen muda daripada kedua-dua belah pihak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau yang dikenali Rara untuk membincangkan mengenai penubuhan Kaukus Bipartisan Ahli Parlimen Muda telah mengadakan pertemuan bersama Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul pada 27 Februari 2023.
Menurutnya pertemuan tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii
Sementara itu, Young Syefura juga mengadakan perbincangan dan mendengar pendapat mereka berkaitan dengan isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan isu Hak Kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak.
Beliau berkesempatan bertemu dengan wakil daripada mahasiswa Universiti Malaya dan rombongan Penang Youth Development Center di pejabat Ahli Parlimen Bandar Kuching yang juga disertai oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dan Ahli Dewan Negeri Pahang, Ho Chi Yang.
“Angkatan Muda Harapan pada manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah berjanji akan memansuhkan AUKU dan kami komited dengan manifesto ini.
“Wakil Angkatan Muda Harapan akan bertemu dengan Menteri Pengajian Tinggi untuk berbincang mengenai isu ini dalam jangka masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette