Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan memastikan kepimpinan parti bangkit kembali dan kekal relevan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu berkata, antara yang menjadi misi utamanya ialah usaha ke arah kebersamaan, ikhtiar kebangkitan agama dan bangsa serta iltizam meningkatkan keyakinan.

“Saya beriltizam dan bertekad untuk membantu kepimpinan parti terutamanya Presiden dan Timbalan Presiden bagi memastikan UMNO kembali bangkit memenangi hati rakyat,” katanya, hari ini.

Pada 24 Februari lalu, Wan Rosdy menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO setelah mengambil kita kira kedudukan, imej dan prestasi UMNO semakin merosot di mata rakyat terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang memohon sokongan semua perwakilan berharap dapat terus mencurahkan khidmat bakti untuk parti demi kelangsungan perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan tanah air. – MalaysiaGazette