KUANTAN – Sebanyak tujuh buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir dibuka di pahang hari ini berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Pahang, lima daerah yang terjejas akibat banjir sehingga jam 6 petang ini ialah Maran, Chini, Jerantut, Raub dan Rompin.
“Di Maran, PPS Balai Raya Jengka 6 menempatkan tujuh mangsa banjir daripada satu keluarga, manakala PPS Dewan Semai Bakti Chini 1, Chini menempatkan seramai 45 orang mangsa banjir daripada tujuh keluarga.
“PPS SK Kota Gelanggi 1, Jerantut menempatkan 77 orang mangsa banjir membabitkan 14 keluarga dan PPS Kampung Kuala Keloi pula menempatkan sembilan mangsa banjir,” kata kenyataan itu.
Hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan Sungai Siam di Jerantut melimpah sehingga menyebabkan beberapa buah rumah di Kota Gelanggi 1 dinaiki air.
Manakala di Chini pula, hujan lebat mengakibatkan kawasan berhampiran dinaiki air secara mendadak dan terdapat beberapa buah rumah ditenggelami air sehingga paras 1.2 meter.
Dalam pada itu, keadaan banjir di Rompin juga dilaporkan semakin buruk dengan lebih 100 mangsa banjir mula dipindahkan ke empat PPS iaitu di Balai Raya Bandar Perwira Jaya, Balai Raya Rekoh, Dewan Orang Ramai Bukit Ibam dan SK Buluh Nipis.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya sehingga Khamis ini membabitkan Pekan dan Rompin di Pahang dan Johor.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, hujan lebat berterusan tahap buruk pula dijangka di Negeri Sembilan, Melaka serta beberapa kawasan di Pahang termasuk Jerantut, Maran, Kuantan dan Bera. – MalaysiaGazette