KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Pahang menggagalkan cubaan menyeludup rokok putih di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dengan rampasan bernilai RM1.52 juta dalam tempoh sebulan.
Pengarah Kastam Negeri, Wan Apandi Wan Hassan berkata, rampasan kali ini turut membabitkan sebuah lori lima tan di Kilometer 220.5 LPT arah barat berhampiran Gambang, di sini, pada 20 Februari lalu.
Beliau berkata, bertindak hasil maklumat orang awam, pihaknya mengesan sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan menyeludup rokok putih lalu mengekorinya.
“Menyedari sedang diekori anggota kastam, pemandu lori bertindak drastik memberhentikan kenderaan di bahu jalan di lokasi terbabit dan nekad meloloskan diri dan lari menyeberangi LPT ke laluan bertentangan,”kepada pemberita di Wisma Kastam Pahang, di sini hari ini.
Menurut Wan Apandi, sindiket penyeludupan menggunakan modus operandi sama seperti rampasan awal Februari lalu iaitu penggunaan lori ‘bonded’ dan bergerak aktif pada waktu malam sehingga ke awal pagi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Hasil serbuan terbabit, sebanyak 102,000 katon rokok di dalam 204 buah kotak berbungkus plastik kuning ditemui dalam lori tersebut.
“Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM163,200.00 dan jumlah duti/cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM1,362,720,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah hanya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” tambah beliau lagi.
JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berhampiran. – MalaysiaGazette