Professor Datuk Dr. Raduan Che Rose.

MACHANG – Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengadakan pertemuan dengan UiTM Holdings Sdn Bhd iaitu syarikat pegangan pelaburan milik penuh universiti itu, minggu ini, kata Pengerusinya, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose.

Beliau berkata, pertemuan itu bertujuan untuk berbincang serta mendapatkan gambaran sebenar berhubung laporan mengenai kerugian sebanyak RM157 juta.

“Kita nak tahu gambaran sebenar daripada pihak UiTM Holdings, apa cerita sebenar, jadi saya akan bertemu dengan UiTM Holdings dalam minggu ini sebelum berjumpa dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki untuk tindakan seterusnya.

“Kes yang melibatkan UiTM Holdings ini masih dalam siasatan pihak berkuasa dan kami menyerahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kemuncak Inovasi dan Kualiti UiTM Cawangan Kelantan, di sini, hari ini.

Justeru, Dr Raduan memohon orang ramai agar tidak memandang serong kepada UiTM susulan isu tersebut.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang menyiasat dakwaan penyelewengan UiTM Holdings yang melibatkan dana dan beberapa pelaburan dibuat syarikat itu sehingga kerugian RM157 juta. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast