Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) melakukan lintasan hormat pada Istiadat Perbarisan dan Perutusan sempena Hari Tentera Darat ke-90 Istiadat di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 01 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini mengadakan Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Tentera Darat Ke-90 yang berlangsung di Kem Perdana Sungai Besi, di sini.

Menerusi kenyataan, TDM memaklumkan bahawa Hari Tentera Darat yang disambut pada setiap tahun merupakan acara tradisi bagi mengukuhkan kesatuan warga tentera darat serta mengeratkan hubungan pasukan itu dengan masyarakat.

Bertemakan “Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin” ia membawa maksud aspek kebajikan dan keperluan warga tentera darat menjadi fokus utama demi kelangsungan kesiagaan pasukan berkenaan dalam menjaga kedaulatan negara.

“Berbanding tahun sebelumnya, pada tahun ini konsep perbarisan adalah istiadat perbarisan yang penuh dengan rejimental dan tradisi ketenteraan melibatkan kesemua 16 kor dan rejimen dalam Tentera Darat Malaysia.

“Istiadat perbarisan ini turut mengarak 7 panji-panji iaitu terdiri dari panji-panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Rejimen Artileri Diraja (RAD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD),” katanya.

Menurut TDM, istiadat perbarisan berjalan dalam situasi perlahan dan cepat bersama tujuh panji-panji yang diiringi gabungan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Brass Band Wanita Rejimen Semboyan.

Turut diadakan terbang lintas hormat lima buah pesawat yang terdiri daripada tiga buah pesawat A109 LOH dan dua pesawat MD 530G.

Istiadat perbarisan itu juga turut disaksikan seluruh warga TDM di seluruh Malaysia secara lintas langsung menerusi Facebook rasmi TDM.

Seramai 58 orang pegawai dan 1,426 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam istiadat perbarisan tersebut.

Upacara istiadat dihadiri Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain yang turut menyampaikan beberapa anugerah iaitu Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT), Anugerah Pengurusan Inovasi Tentera Darat (APITD), Penganugerahan Pisau Tentera Darat, Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang (APC) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN). – MalaysiaGazette