KUALA LUMPUR – Dua pemimpin UMNO Selangor menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian dalam pemilihan sesi 2023-2026.
Mereka ialah Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk kerusi UMNO Bahagian Kota Raja dan Datuk Johan Aziz bagi UMNO Bahagian Hulu Langat.
Menurut sumber, kemenangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dalam UMNO menamatkan spekulasi kedudukannya, yang turut bertanding jawatan anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Sebelum ini tersebar desas desus menyatakan Tengku Zafrul bakal menjadi calon di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Raja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi.
Bagaimanapun, bekas Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Kamaruzzaman Johari enggan mengulas, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada pucuk kepimpinan parti.
UMNO Selangor mempunyai 22 bahagian, manakala 20 lagi menyaksikan pertandingan dua dan empat penjuru.
Pertandingan empat penjuru jawatan Ketua UMNO Bahagian berlaku di Bahagian Kuala Selangor dan Puchong.
Bahagian Kuala Selangor menyaksikan penyandangnya, Jahaya Ibrahim dicabar tiga calon iaitu Hakasah Abu Hasib, Noorazley Yahya dan Mohd Nor Saad; manakala UMNO Puchong, penyandangnya, Mohamad Satim Diman dicabar Azmir Yuzaimi Mohd Yunos, Radin Mokhtar Md. Yusof dan Kamsani Kamarudin.
Bahagian lain ialah Sabak Bernam, penyandangnya, Abd. Rahman Bakri dicabar Rizam Ismail; UMNO Sungai Besar, penyandang, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dicabar Datuk Seri Mohamad Khir Toyo; UMNO Hulu Selangor, penyandangnya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dicabar Mohd Isa Abu Kasim dan Mohd Izuddin Mohd Ilias.
Penyandang bagi UMNO Bahagian Tanjung Karang, Sulaiman Abdul Razak pula dicabar Mohammad Safie Asnan@Asnawi; UMNO Selangor, Datuk Abdul Shukur Idrus dicabar Hasnal Rezua Merican Habib Merican.
UMNO Gombak, penyandangnya dicabar Yuszahari Mohd Yusof; UMNO Ampang, Mohamad Nadzim Ibrahim dicabar Nordin Kasiran; UMNO Pandan, Jamaluddin Ropa dicabar Khairil Anwar Ghazali; UMNO Bangi, Mohd Zaidi Md. Zain@Zakaria dicabar Kamal Fakhri Ariffin.
Bagi UMNO Bahagian Subang, penyandangnya, Datuk Arman Azha Abu Hanifah dicabar Abu Hasan Ashaari Alang Jaman; UMNO Petaling Jaya, Abdul Mutalif Abdul Rahim dicabar Yusoff M. Haniff dan Jamaludin Razali.
UMNO Bahagian Damansara, penyandangnya, Ikhwan Salim Sujak dicabar Mohamad Azli Mohemed Saad; UMNO Sungai Buloh, Megat Firdouz Megat Junid dicabar Zein Isma Ismail; UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari dicabar Ahmad Mua’adzam Ya’akop.
Empat lagi UMNO Bahagian yang menyaksikan pertandingan ialah Kapar, Mohd Roslee Abd. Hamid ditentang Saroni Judi; UMNO Klang pula, Nasarrudin Md. Zin dicabar Zainuri Zainal; UMNO Kuala Langat, Zurihan Yusop dicabar Abdul Fatah Iskandar, manakala UMNO Sepang, Noorazli Said ditentang Shahrum Mohd Sharif. – MalaysiaGazette