ANTARA persoalan yang sering diajukan adalah, adakah tugas seorang pensyarah itu sangat berat? Sudah semestinya tugas seorang pensyarah itu sangat penting dan memikul tanggungjawab yang sangat besar. Tugas mereka tidak hanya terbatas pada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, tetapi meliputi pelbagai aspek lain seperti penyeliaan projek akhir dan tesis, menjalankan penyelidikan, penerbitan artikel dan buku, menghadiri seminar dan persidangan, menyediakan khidmat perundingan, sumbangan idea dan inovasi, melibatkan diri dalam pentadbiran, mewujudkan jaringan industri, sumbangan khidmat masyarakat, dan bergiat aktif dalam badan profesional.
Kepakaran seorang pensyarah yang berpengalaman dan berkualiti adalah sangat penting dan signifikan dalam pembentukan dan perkembangan pelajar masa kini. Sudah pasti, mereka merupakan sumber rujukan dalam menyediakan bahan pengajaran berkualiti dan penyedia sokongan berterusan kepada pelajar. Semua usaha ini memerlukan masa dan tenaga yang banyak, serta komitmen yang tinggi daripada pensyarah. Dengan skop tugasan yang anjal dan luas, tidak dapat disangkal bahawa tugas seorang pensyarah itu sangat berat dan memerlukan komitmen yang tinggi. Jelas, mereka turut memikul tanggungjawab yang sangat besar dalam memastikan aktiviti pembelajaran yang berkesan dan membantu pelajar mencapai potensi mereka sebaik mungkin.
Sebagai tambahan, peranan seorang pensyarah adalah bersifat holistik dalam dunia akademik. Pensyarah dituntut untuk menyempurnakan semua amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin dalam usaha mencapai keberhasilan akademik. Tidak dinafikan, amanah ini sangat berat untuk dipikul oleh seorang pensyarah pada zaman dengan ledakan teknologi pintar yang serba mencabar hari ini.
Walau bagaimanapun, itulah hakikat yang perlu diterima apabila menerima surat lantikan sebagai seorang pensyarah. Setelah meneliti setiap skop tugas pensyarah, surat setuju terima jawatan dimeterai tanda bersetuju untuk membantu universiti mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan. Sudah pasti, pensyarah perlu sentiasa berfikiran positif dan mempunyai motivasi yang tinggi dalam melaksanakan tugasan yang berat ini. Justeru, pensyarah perlu bijak dalam mengawal emosi dan kesihatan (zahir dan batin) dalam mendepani cabaran ini.
Antara contoh cabaran yang perlu dihadapi secara konsisten adalah menjalankan penilaian hasil tugasan, ujian, dan peperiksaan akhir pelajar. Amanah ini sangat berat kerana perlu diselesaikan dalam tempoh yang sangat singkat. Sudah tentu, ia sedikit sebanyak akan memberikan tekanan kepada para pensyarah dari segi emosi dan mental.
Justeru, berikut adalah antara beberapa usaha yang boleh dilaksanakan dalam mengurus emosi dan daya tahan mental pensyarah.
Pertama, pensyarah perlu sentiasa kekal tenang dan fokus kepada tugas yang sedang dilakukan. Pensyarah juga perlu bijak menyusun jadual dengan baik serta menetapkan masa yang cukup untuk rehat. Jangan terlalu memaksakan diri dan sentiasa mengutamakan kesihatan mental dan fizikal. Kedua, mengambil makanan yang seimbang. Dalam tempoh yang kritikal ini pensyarah perlu bijak dalam mengambil makanan yang sihat dan seimbang. Umumnya, waktu ini selera makan mungkin bertambah dan ada keadaan juga menjadi kurang berselera. Perlu waspada, pengambilan makanan yang berlebihan boleh mendatangkan risiko untuk jangka masa yang panjang.
Ketiga, luangkan waktu untuk melakukan aktiviti riadah dan pergerakan fizikal. Aktiviti ini mampu mengurangkan tekanan mental dan dapat merenggangkan otot-otot dan
sendi tubuh badan akibat terlalu fokus menghadap skrip jawapan dan tugasan pelajar. Keempat, kerapkan melakukan latihan pernafasan semasa dalam keadaan yang
tertekan dan tegang. Kawalan pernafasan yang berkesan akan dapat membantu menenangkan fikiran dan mengurangkan rasa panik. Kelima, jangan terlalu memaksa diri sendiri. Ingatlah pensyarah juga manusia biasa dan bukannya mesin yang boleh melaksanakan tugasan dengan kuantiti yang banyak dan sempurna. Namun, ini bukanlah jawapan munasabah yang boleh dijadikan alasan kukuh untuk tidak berbuat apa-apa sebagai ahli akademik.
Rumusannya, jagalah emosi dan kesihatan diri sepanjang masa. Alahai, tenang-tenang sahajalah. Pergilah luangkan masa berkualiti bersama keluarga usai melaksanakan tugasan-tugasan berkenaan. Tujuannya adalah agar semester yang mendatang para pensyarah akan kembali dengan emosi dan berdaya tahan dalam mengadaptasi kaedah pengajaran dan memanfaatkan teknologi pintar memenuhi tuntutan semasa.
Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni,
Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak.