KUALA LUMPUR – Tawaran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi pengambilalihan secara sukarela bersyarat bagi baki saham atau 40.58 peratus dalam Boustead Holdings Bhd, terbukti menyuntik minat ketara terhadap kaunter syarikat itu dalam urus niaga hari ini.

Pada 9.45 pagi, saham Boustead mendahului senarai paling aktif apabila mencatat kenaikan lebih daripada 30 peratus atau 20 sen kepada 85.5 sen berbanding 65.5 sen, semalam.

Sebanyak 71.31 juta saham telah diniagakan setakat ini.

Tawaran LTAT itu adalah sebahagian daripada langkah yang dipercayai dalam usaha menswastakan Boustead.

Konglomerat dengan pelbagai cabang perniagaan itu juga mengesahkan bahawa LTAT tidak berhasrat mengekalkan status penyenaraian syarikat terbabit.

Bagaimanapun, tawaran 85.5 sen sesaham yang bersyarat itu adalah tertakluk kepada kelulusan Menteri Kewangan di atas syor Bank Negara Malaysia (BNM) dan kelulusan BNM di bawah Seksyen 87 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 99 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk membenarkan pihak membuat tawaran memperoleh sehingga 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Boustead.

Selain itu, ia juga melibatkan pengecualian BNM daripada mematuhi Seksyen 110 FSA dan Seksyen 122 IFSA berhubung dengan keperluan untuk LTAT dan/atau syarikat dinamakannya untuk diluluskan sebagai syarikat pemegangan kewangan Affin Bank Berhad dan entiti berlesen yang berkaitan .

Kesemua syarat-syarat ini mestilah dipenuhi dalam tempoh 21 hari selepas tarikh tutup pertama seperti ditetapkan dalam Peraturan Pengambilalihan, Percantuman dan Pengambilalihan Wajib yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Tawaran tersebut merupakan langkah signifikan bagi LTAT dalam pengambilalihan BHB yang membolehkan fleksibiliti untuk melaksanakan pelan pemulihan BHB bagi memastikan kemampanan Tabung untuk Angkatan Tentera serta pesara tentera, selaras dengan pelan transformasi LTAT yang sedang dilaksanakan,” kata LTAT dalam satu kenyataan.

Pegangan langsung LTAT merangkumi 1.20 bilion saham Boustead yang juga 59.42 peratus daripada keseluruhan jumlah terbitan saham dalam syarikat itu setakat tarikh terkini.

Keuntungan bersih Boustead bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 susut kepada RM62 juta daripada RM170.1 juta pada tahun sebelumnya, susulan rosot nilai Pharmaniaga Bhd.

Namun, hasilnya meningkat kepada RM15.11 bilion daripada RM11.3 bilion sebelum ini.

Boustead baru-baru menyifatkan rosot nilai bahagian farmaseutikal itu berlaku akibat penghapusan inventori vaksin COVID-19 yang perlahan sebanyak RM552 juta, selaras dengan keperluan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia iaitu Inventori MFRS 102. – BERNAMA