MELAKA – Madrasah yang diiklankan memerlukan sumbangan sudah lebih lima tahun ‘berkubur’ namun, tabung khairatnya masih terus mengutip ribuan ringgit setiap bulan.
Taktik sindiket itu bagaimanapun terbongkar apabila 50 tabung khairat madrasah ‘hantu’ itu yang diletakkan secara haram di restoran, stesen minyak dan kedai runcit di sekitar negeri ini dirampas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam satu serbuan di sini.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, rampasan dibuat kerana tabung itu sepatutnya dibawa oleh pemungut itu sendiri dan mereka perlu menunjukkan kad kuasa pungutan dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebelum membuat sebarang kutipan.
“Hasil pemeriksaan, kita dapati semua tabung ini menggunakan alamat madrasah anak yatim antaranya di Jasin yang sudah lebih lima tahun ditutup.
“Kita percaya, kegiatan ini mungkin didalangi sindiket tertentu untuk mengaut mudah ribuan ringgit sebulan terutamanya menjelang Ramadan tiga minggu lagi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Che Sukri berkata dalam Op Tanggal semalam, sebanyak 21 premis diperiksa sebelum merampas 50 tabung dengan pecahan 35 dirampas di sekitar daerah Melaka Tengah, manakala lima di Alor Gajah serta enam di Jasin.
Menurutnya, tindakan dalam diketuainya bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah dibuat mengikut Seksyen 94, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) (Pindaan) 2022.
“Selain itu, pemilik premis juga boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana terbabit dalam pungutan khairat tanpa kebenaran.
“JAIM akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa terutamanya menjelang Ramadan 23 Mac ini yang lazimnya menyaksikan umat Islam berlumba-lumba bersedekah,” katanya. – MalaysiaGazette.